Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah disaran agar mengemaskini senarai rakyat yang layak menerima bantuan dalam e-Kasih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, langkah itu perlu dilakukan dengan segera agar tidak ada yang tercicir daripada menerima bantuan daripada kerajaan.

“Kita perlu pastikan hanya golongan sasar e-Kasih yang benar-benar memerlukan menerima bantuan tersenarai. Bantuan perlu disalurkan bersandarkan atas dasar kemanusiaan tanpa dipengaruhi oleh perbezaan bangsa, agama dan juga politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Dalam pada itu Salleh turut menggesa agar kerajaan Negeri Sabah menyelesaikan isu kemiskinanan digital dalam kalangan masyarakatnya.

Ujarnya, kemiskinan digital merupakan satu keadaan serba kekurangan khususnya dari aspek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan masyarakat, termasuklah isu kekurangan prasarana kelemahan kemahiran ICT.

“Kemiskinan Digital ini tidak semestinya berkaitan dengan soal kedudukan ekonomi seseorang itu. Seseorang itu mungkin sudah mempunyai kelengkapan ICT seperti komputer, telefon pintar dan sambungan internet yang pantas tetapi masih dianggap miskin digital.

“Ini kerana sesorang itu masih belum mahir menggunakan ICT sebaiknya untuk urusan utama harian yang sudah kian semakin lama semuanya beroperasi dalam talian, seperti bekerja, berniaga, dan berurusan,” tambahnya.

Menurutnya perkara itu disebabkan masyarakat terlalu biasa dengan komunikasi bersemuka dan masih belum dapat mengadaptasikan amalan ‘Bekerja-Dari-Rumah’ dan “Urus Niaga Dalam Talian” khususnya ketika pandemik Covid-19 ini.

Tambahnya, masalah ini sekiranya berlarutan akan memberi kesan kepada ekonomi Sabah selain mengakibatkan Negeri Di  Bawah Bayu itu ketinggalan lebih jauh dari arus pembangunan.

Sehubungan itu, Salleh berharap kerajaan dapat merancangkan kaedah sewajarnya atau menyampaikan insentif bersesuaian untuk menangani isu Kemiskinan Digital di negeri ini.-MalaysiaGazette