Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S. Shanmugamoorthy.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kemungkinan wujud unsur jenayah melibatkan kebakaran dua kereta dalam satu insiden berdekatan Kondominium Sri Putramas, Jalan Putramas 1, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 4.38 pagi itu, kereta jenis Mercedes-Benz dan Toyota Vios yang terbakar itu melibatkan 50 peratus bahagian kenderaan terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah, hasil siasatan awal pihak bomba mendapati terdapat kesan simbahan minyak pada bahagian kenderaan yang terbakar.

“Pihak forensik bomba telah mengesan terdapatnya kesan simbahan minyak pada bahagian kenderaan yang terbakar serta beberapa keterangan fizikal lain yang disyaki telah digunakan dalam kejadian kebakaran kenderaan terlibat.

“Anggaran kerugian belum pasti dan semakan ke atas kedua-dua nombor pendaftaran kenderaan tiada apa-apa rekod.

“Setakat ini pemilik kenderaan masih belum buat apa-apa laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu pihaknya menerima panggilan jam 4.38 pagi daripada orang ramai dan pengawal keselamatan kondomimium terbabit.

Bagaimanapun pihak bomba yang telah dihubungi dan sampai di tempat kejadian sebelum berjaya mengawal kebakaran sehingga jam 4.30 pagi. – MalaysiaGazette