MELAKA – Kes tular seorang pelatih orang kelainan upaya (OKU) menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal semalam adalah kejadian lama yang sudah pun diselesaikan antara mangsa dan semua pelajar terlibat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian berlaku pada Februari lalu namun baru ditularkan semalam sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Berdasarkan hasil siasatan saya kes ini dah lama berlaku sekitar Februari lalu dan sebenarnya pelajar yang terlibat pun sudah dipanggil oleh Mara.
“Keterangan semua telah diambil malah semua (pelajar terlibat) pun sudah minta maaf dan mereka meneruskan kursus kemahiran menjalani latihan loji,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, pihak Mara sebelum ini juga sudah menganggap kes berkenaan selesai selepas kedua-dua pihak saling bermaafan.
Artikel berkaitan:
- Tular dakwaan pelajar OKU GiatMara di Melaka dibuli
- Pelatih OKU dibuli: Pengurusan GiatMara Melaka panggil semua yang terlibat esok
“Tambahan pula, pelatih berkenaan (mangsa buli) tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali ada perkembangan baharu dalam kes ini akan dimaklumkan kelak,” katanya lagi.

Tangkap layar video tular menunjukkan pelajar OKU GiatMara Durian Tunggal dibuli pelajar lain dengan cara membaling botol air ketika mangsa sedang berehat.
Malam tadi, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam reaksi terhadap kes itu berkata, pengurusan GiatMara Negeri Melaka akan memanggil dan berjumpa dengan semua individu yang terlibat dalam video tular itu hari ini.
Beliau berkata, pelatih yang didakwa menjadi mangsa buli itu juga akan dipanggil bagi membolehkan siasatan lebih terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada.
“Saya tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk samaada fizikal atau mental.
“Tiada tempat buat PEMBULI di mana-mana Institusi Pendidikan MARA samaada di MRSM, GiatMARA, IKM, KM, KPM, KKTM, KPTM, MJII, GMI, UPTM mahupun UniKL.
“Pengurusan MARA di semua peringkat dan IPMA amat memahami prinsip saya ini. Tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak Pengurusan jika didapati wujud salahlaku dan jenayah buli tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, seorang pemuda memuat naik sebuah video berdurasi dua minit mengenai pelajar OKU lelaki yang mempunyai masalah pembelajaran telah menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal, Melaka.
Menerusi video berdurasi dua minit itu, pemuda berkenaan mengakui terkejut apabila pelajar OKU terbabit yang baru dikenali di gelanggang badminton menceritakan kejadian tersebut kepadanya. – MalaysiaGazette