MALAYSIA adalah sebuah persekutuan yang terbentuk daripada kesinambungan kedaulatan sembilan Raja-Raja Melayu yang telah memperkenankan pembentukan Perlembagaan Persekutuan.
Kedaulatan Raja-Raja Melayu ini dijamin dan dilindungi antara lain, di bawah Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.
Allah SWT sebagai Pemilik Mutlak Kedaulatan atau Kekuasaan Pemerintahan telah mengamanahkan kepada Baginda Rasulullah SAW sebagai wakil Penguasa (Khalifah) [Al Imran:26].
Amanah tersebut telah diwarisi oleh Khulafaurrasyidin dan kemudiaannya diturunkan kepada para pemerintah wilayah-wilayah yang mendaulatkan Islam termasuk Raja-Raja Melayu.
Kesinambungan warisan amanah kedaulatan ini dapat dilihat daripada isi lafaz sumpah jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang diperuntukan oleh Perlembagan Persekutuan atas kalimat keramat: “Wallahi…Wabillahi…Watallahi…” untuk memelihara pada setiap masa agama Islam [Perkara 37(1) pada Bahagian I Jadual IV] yang merupakan Agama Persekutuan [Perkara 3(1)].
Atas naratif dan prinsip “Ulama, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”, Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR) diwujudkan sebagai wadah bebas yang bertindak mewakili suara hati ulama dan rakyat untuk memberi pandangan dengan penuh adab dan hikmah.
Juga memberi pandangan secara terbuka dan di balik tabir kepada Institusi Raja-Raja dalam apa jua isu berbangkit sama ada isu negara, pemimpin, rakyat dan yang melibatkan pihak istana serta menghormati dan bekerjasama dengan para penasihat rasmi Raja-Raja demi pemerkasaan Institusi Raja-Raja Melayu, antara lain, melalui:
- Pemerkasaan Institusi Raja-Raja yang disemak imbang oleh Perlembagaan Persekutuan amat penting sebagai kunci utama kejayaan untuk memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, melindungi hak-hak istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak, adat Melayu, adat anak negeri Sabah dan Sarawak serta menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain dan penganut agama yang lain tanpa menafikan hak mereka bagi menjamin kesejahteraan, keadilan dan keamanan negara.
- Menggerakkan kefahaman kepada seluruh rakyat pelbagai peringkat dalam memahami kepentingan pemerkasaan Kedaulatan Institusi Raja-Raja sebagai payung yang menaungi keharmonian agama, kesejahteraan kaum dan keamanan negara.
- Memberi penerangan kepada semua rakyat akan konsep politik kenegaraan yang merangkumi Kedaulatan Institusi Raja-Raja, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Prinsip Watan (sejarah, tradisi, adat dan budaya tanah air) agar melahirkan rakyat yang cinta dan setia pada raja dan negara.
- Mendorong serta mendokong pemilihan individu yang benar-benar ahli dan berwibawa dalam memikul amanah kehakiman, pentadbiran serta perundangan termasuk di Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri agar mampu memperkasakan kerajaan serta Kedaulatan Raja-Raja.
Rakyat juga akan turut diberikan kesedaran terhadap amanah memilih wakil rakyat yang benar-benar layak di peringkat negeri dan persekutuan.
Semoga dengan kehadiran MAMPIR di persada negara dapat memperkasakan Institusi Raja-Raja agar wujudnya keamanan dan kesejahteraan negara. – MalaysiaGazette
MAMPIR ialah NGO Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja