Anggota penguatkuasa memeriksa barang bersubsidi di sebuah premis. Foto: Ihsan KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membatalkan lesen barang kawalan ke atas pemborong dan perucit yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, sejak 2017 hingga 2019, sebanyak 14 buah syarikat pelesen barang kawalan telah dibatalkan.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung menunjukkan keseriusan Bahagian Penguat Kuasa dalam menangani aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di peringkat akar umbi demi menyelamatkan subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan kepada para peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan barangan kawalan berjadual dan bersubsidi serta memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tersebut bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan statistik dari tahun 2016 hingga Oktober 2020, kes yang dihasilkan oleh Bahagian Penguat Kuasa bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan melibatkan barang-barang kawalan bersubsidi adalah sebanyak 2,212 kes.

Nilai rampasan bagi keseluruhan kes tersebut katanya, adalah
sebanyak RM53,691,109.00, manakala bagi kes-kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang diterima dari serahan agensi luar pula adalah sebanyak 671 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM10,422,814.25.

Tambah beliau, tindakan-tindakan turut dilakukan oleh Bahagian Penguat Kuasa seperti pelaksanaan “Pelan Tindakan Membanteras Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi Di Sempadan Malaysia-Thailand” yang bermula pada 2019 dan pemantauan ke atas Arahan Pengawal Bekalan bagi Larangan Penjualan Petrol RON95 dan Diesel di Stesen Minyak Di Sempadan yang dikeluarkan pada September 2020.

Jelasnya, antara langkah yang diambil oleh bahagian penguat kuasa adalah operasi secara berterusan, menjalankan jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan sempadan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

Tindakan dilakukan melalui operasi bersepadu serta secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan, ujarnya.

Tegas beliau, menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan adalah menjadi teras utama kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP.

“Walaupun isu penyelewengan barang kawalan di sempadan bukanlah suatu isu yang mudah ditangani, namun Bahagian Penguatkuasa tetap meneruskan tindakan pro-aktif dan tegas dalam membendung isu penyelewengan barang kawalan ke negara sempadan melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” tambahbnya. – MalaysiaGazette