BEIJING – Seorang diplomat Britain bertindak terjun ke dalam sungai di barat daya China untuk menyelamatkan seorang pelajar yang hampir lemas pada hujung minggu lalu, kata Kedutaan Britain di Beijing.
Stephen Ellison, Konsul Jeneral Britain di Chongqing, melompat ke dalam sungai tersebut apabila melihat seorang gadis hampir lemas selepas terjatuh dari tebing sungai, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.
Rakaman sebuah video menunjukkan kejadian itu dikongsikan di akaun Twitter Kedutaan Britain.
Dalam rakaman itu, kelihatan seorang budak perempuan terbenam di dalam air, menyebabkan beberapa orang menjerit panik.
Diplomat yang berusia 61 tahun itu bergegas menanggalkan kasut lalu terjun untuk membantu mangsa.
Sejurus Ellison menarik pelajar itu, pelampung dijatuhkan bagi membantu mangsa dibawa naik dengan selamat.
“Terima kasih kepada penyelamat, pelajar itu sudah boleh bernafas dan kembali sedar,” menurut laporan Xinhua yang memetik pihak berkuasa. – MalaysiaGazette