Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Semua parti politik diminta memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah untuk terus mengekalkan kerusi Bugaya bagi mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Kecil susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Manis Muka Mohd Darah semalam.

Langkah itu bagi membendung gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ketua Menteri Sabah yang baru Datuk Seri Hajiji Mohd Noor harus menghormati mandat pengundi di Bugaya yang memberi kemenangan kepada Manis Muka dengan majoriti 6,005 undi dalam pilihan raya umum Sabah baru-baru ini.

Menurutnya, Hajiji seharusnya mengutamakan kesihatan dan keselamatan awam daripada kempen politik.

Artikel berkaitan: ADUN Bugaya meninggal dunia

Malah, sebagai bekas pesakit positif Covid-19 sendiri, Hajiji sudah tentu mengetahui bahaya yang ditimbulkan akibat jangkitan virus itu jika pilihan raya diadakan.

”Rakyat Sabah tidak boleh terdedah kepada satu lagi kempen pilihan raya setelah mereka terpaksa pergi mengundi berikutan usaha khianat memaksa pertukaran kerajaan di Sabah melalui politik wang dan percubaan membeli wakil rakyat.

”Mengutamakan rakyat daripada politik akan menjadi permulaan yang baik bagi Ketua Menteri yang baru saja pulih daripada Covid-19,” kata Guan Eng.

Tambah beliau,  membenarkan Warisan menang Bugaya tanpa bertanding akan membuktikan kepada rakyat Hajiji komited untuk memerangi dan mengatasi ancaman Covid-19 bersama-sama semua pihak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast