KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru para pemimpin Asia Pasifik untuk saling bersatu ke arah mengemudi rantau ini ke landasan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang padu, inklusif dan mampan.
Beliau berkata ekonomi-ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global memainkan peranan penting dalam menerajui pemulihan ekonomi pasca pandemik.
“Kita perlu berdagang dan melabur untuk keluar daripada kegawatan ekonomi sekarang,” katanya dalam ucapan perasmian beliau pada mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC (AELM) yang diadakan secara maya sepenuhnya buat pertama kalinya, di sini, hari ini.
Meskipun menekankan kepada kepentingan perpaduan, Muhyiddin juga menggesa para pemimpin untuk mengelakkan sebarang gangguan dan menumpukan kepada usaha mencari penyelesaian serantau bagi menangani pandemik COVID-19.
“Hari ini, ketika kita bekerjasama bersama-sama sebagai satu rantau untuk mengurangkan impak COVID-19, APEC telah menjadi semakin relevan.
“Kita perlu bersatu memerangi COVID-19, dan oleh itu amat penting bagi penduduk di seluruh dunia mendapat akses kepada vaksin dan teknologi kesihatan secara sama rata dan pada kos berpatutan,” katanya.
Muhyiddin, yang juga pengerusi mesyuarat tahun ini melihat APEC sebagai inkubator merangkap pemboleh yang menyediakan rangka kerja yang betul bagi melaksanakan idea ekonomi secara suka rela, tidak terikat dan sepakat.
Perdana Menteri menyedari bahawa ekonomi-ekonomi anggota sering mengutarakan konsep baharu dalam platform ini, walaupun agak ragu-ragu untuk melakukan perkara yang sama di forum pelbagai hala lain.- BERNAMA