KUALA LUMPUR – Bermula dengan bekerja di salah sebuah gedung pakaian terkemuka di ibu kota 12 tahun yang lalu, sebelum mengambil keputusan membeli rumah pada 2013, Normala Nursai, 36 akhirnya terpaksa menumpang di rumah adik bongsunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas setelah diisytihar muflis.
Ibu tunggal kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ini diisytihar muflis selepas tidak mampu membayar bayaran bulanan pinjaman yang dilakukannya.
Kehidupan Normala semakin rumit apabila terpaksa berhenti bekerja pada 2018 untuk menjaga arwah ibunya yang ketika itu menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Setelah ibu tercinta meninggal dunia, hajatnya untuk kembali bekerja terbantut selepas disahkan menderita akibat fibroid di perut.
Meskipun telah menjalani pembedahan, beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa fibroid berkenaan kembali membesar dan menyebabkannya sering mengalami pendarahan teruk.
Ketika itu katanya, pembedahan ditanggung sepenuhnya oleh hospital kerana Normala sudah tidak mempunyai simpanan.
“Masa saya buat pembedahan fibroid pun semua hospital yang tanggung,” katanya.
Dalam masa sama tahap kesihatan ayahnya yang berusia 72 tahun semakin merosot setelah pemergiaan isterinya kerana tidak dapat menerima hakikat insan tercinta sudah tiada lagi.
“Selepas mak meninggal ayah pula sakit sebab terlalu sedih,” tambahnya.
Lebih memburukkan keadaan apabila ayahnya disahkan menghidapi masalah buah pinggang dan memerlukan penjagaan rapi.
Hanya hidup menumpang di rumah adik bongsu, Normala mengaku tidak mampu memberikan wang saku kepada anaknya untuk ke sekolah.
Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan oleh kerajaan untuk digunakan dengan kadar RM500 sebulan digunakannya sebaik mungkin untuk menampung perbelanjaan harian diri, anak serta ayahnya termasuk membantu membeli keperluan harian.
Anak lelakinya hanya bergantung kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diberikan sebelum ini ketika sesi persekolahan masih berjalan.
“Anak pun pergi sekolah sebelum ini kadang-kadang ada duit belanja, kadang tidak ada, tengok keadaan, dia harapkan makan RMT di sekolah,” katanya lagi.
Seolah-olah memahami kehidupan mereka, Normala menyifatkan anaknya matang kerana sudah mampu membantunya menyiapkan tugasan harian di rumah termasuklah menjaga datuknya yang sakit.
“Masa saya di hospital anak saya yang jaga datuk dia, tolong mandikan, masak nasi,” katanya lagi.
Perit, namun itulah takdir hidup yang perlu dihadapi oleh ibu tunggal ini.
Anak dan ayah adalah tanggungjawabnya, meskipun dalam keadaan tidak mampu. Normala tetap melangkah.
Ekoran kesusahan hidupnya, Normala mencuri perhatian Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk menerima sumbangan pek makanan hari ini.
Normala adalah antara 50 keluarga kategori asnaf dan ibu tunggal yang menerima bantuan pek makanan hari ini.-MalaysiaGazette
Sedihnya.. moga di permudahkan urusan puan
Ye betul…sedih tengok…harap2 akak ni dapat lagi keluarkan duit epf akaun 1….
Saya ingin membantu sekadar mampu. Hubungi saya di 0182504579 (Mohd Noor). sertakan number account
Saya ingin membantu sekadar mampu. Hubungi saya di 0182604579 (Mohd Noor). sertakan number account
Perdana Menteri yang paling arif mengenai masalah kewangaan adalah DSN. Analysis beliau adalah cukup bagus dan menyakinkan. Saya mohon kerajaan yang sedia ada agar menerima pandangan DSN. Rakyat memerlukan sedikit wang mereka sendiri untuk menyelamatkan keluarga dan hubungan suami isteri. Sedihnya ada juga kes bunuh diri kerana masalah kewangan. Ayuh, kerajaan mempertimbangkanlah hal keadaan rakyat dan luluskan pengeluaran RM10 ribu dari KWSP.