Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa melihat grafiti pada dinding semasa hadir pada Majlis Penyampian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang. foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Tiada sebab munasabah untuk mana-mana Ahli Parlimen menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 yang akan menjalani proses pengundian pada 26 November ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya belanjawan itu tidak diluluskan, sukar untuk kerajaan membuat pindaan dan penambahbaikan mengikut kehendak majoriti.

“Sekarang ini perbahasan di peringkat dasar, tiada sebab untuk sesiapa menolak (belanjawan) sebab apa yang sedang dibincangkan dan akan diundi itu hanya bacaan kali kedua, iaitu perbincangan peringkat dasar.

“Syor-syor yang kita nak suruh baiki, suruh ubah pada bil (RUU) yang ada di atas meja itu tidak spesifik, hanya dasar sahaja.

“Contohnya ada orang tak suka peruntukan JASA RM89 juta, jadi kalau nak ubah, dia kena tunggu peringkat jawatankuasa, kena lulus dulu peringkat dasar, baru pergi ke jawatankuasa.

“Kalau tak lulus di peringkat dasar, tiada peluang untuk ubah dan baiki,” katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam yang mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah mengancam tidak akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2021, Khamis ini.

Surat Tengku Razaliegh itu ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Antara petikan surat itu ialah memandangkan kerajaan sekarang masih belum disahkan melalui sidang Dewan Rakyat, beliau terikat dengan sumpah (Ahli Parlimen) yang dilafazkan sebelum ini maka beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan.

Dalam perkembagan sama, Annuar menjelaskan, isu moratorium dan pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tiada dalam RUU Perbekalan 2021.

“Dalam bil (RUU) tiada benda nak pinda, sebab benda itu tiada dalam bil yang dibentangkan, ia cuma ada dalam ucapan Menteri Kewangan.

“Tiada apa nak dipinda atas kertas, cuma kerajaan mesti menjawab dalam bentuk dasar sebab bil adalah bajet bersifat fiskal.

“Berapa kementerian, mana yang kita tak setuju, nak ubah, nak tambah, nak cadang, mesti dibuat di peringkat jawatankuasa.

“Kalau nak dipinda butirannya, 26 haribulan semua mesti sokong, kalau tak sokong menyebabkan bajet tak lulus, tak boleh pinda langsung di peringkat jawatankuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. HANG NI MACAM MANA PON TAK APA UNTUK ABAHLEMBU HG,JANJI KES SALAHGUNA KUASA MARA DIAM2 JANGAN BISING..SUDAH LALI NGAN ORANG POLITIK MACAM HG NI,JILAT SELAGI TAK KERING AIR LIUR,..YANG PENTING MUKA KENA TEBAL LANTAI JAMBAN,LIDAH MAU LICIN…GUDDDDDDD..

Comments are closed.