KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand pada awal pagi tadi.

Katanya, kematian mendiang Baharuddin daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) itu merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya merasa dukacita apabila mendapat tahu mendiang meninggal akibat terkena tembakan semasa penugasan dalam Op Benteng.

“Saya turut merasa sedih apabila mendapat tahu seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari yang bertugas bersama mendiang ketika kejadian, cedera terkena tembakan di bahagian perut.

“Mendiang dan Norihan adalah petugas barisan hadapan yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhyiddin, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang Baharuddin dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan yang berkhidmat penuh semangat dan dedikasi.

Perdana Menteri berharap agar keluarga mendiang Baharuddin bersabar menghadapi ujian tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin turut mendoakan supaya Norihan cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi tadi Baharuddin yang berasal dari Negeri Sembilan maut manakala Norihan pula cedera parah selepas ditembak ketika bertugas di Pos Kawalan Sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis.

Norihan yang cedera parah kini mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Fauziah, Kangar, Perlis. – MalaysiaGazette