Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dunia yang terus dihantui COVID-19 dan kekangan tenaga manusia di China telah menyebabkan “kilang dunia” tersebut memfokus kepada komputer riba mahal yang menjanjikan pulangan keuntungan lebih tinggi.

Di Malaysia, permintaan yang melonjak terhadap komputer riba harga sederhana berikutan trend kerja dari rumah telah menyebabkan komputer riba dengan skala harga sederhana tiada stok di pasaran.

Sinchew Daily melaporkan, pengedar menjangkakan stok hanya akan pulih paling awal pada tahun depan.

Sesetengah pihak juga mengambil kesempatan dengan menjual komputer riba terpakai yang biasanya berharga ratusan ringgit dengan harga sehingga lebih RM1,000.

Presiden Persatuan Komputer dan Teknologi Maklumat Pulau Pinang, Choo Chee Heong berkata, disebabkan COVID-19, tenaga kilang di China perlu bertugas secara bergilir-gilir, sekali gus menyebabkan kekurangan tenaga pekerja dan penurunan pengeluaran.

Katanya, keadaan itu menyebabkan “kuota” untuk bekalan komputer pelbagai jenama kepada pasaran Malaysia menjadi sangat sedikit.

Jelas beliau, sejak Jun lalu, harga komputer riba berharga sederhana yang dijual di bawah RM2,000 atau RM1,000 masih kehabisan stok.

Kata Chee Heong, komputer riba berharga sederhana itu sesuai digunakan oleh pelajar yang perlu menghadiri kelas dalam talian.

Ujarnya kepada Sinchew Daily, jualan komputer riba pada Jun telah melonjak 40 peratus dan mencapai kemuncaknya, tetapi berdepan masalah kehabisan stok selepas itu.

“Keadaan COVID-19 yang bertambah tenat dan penutupan sekolah kali ini walaupun tidak kelam kabut seperti kali pertama, tetapi peniaga kini berdepan masalah stok dan juga aliran tunai,” katanya.

Menurutnya, stok yang masih ada hanyalah komputer riba mahal yang berharga antara RM4,000 hingga RM5,000 dan jualannya adalah kurang berbanding komputer riba berharga sederhana.

Selain itu, terdapat juga masalah kekurangan stok untuk mesin pencetak dan dakwat.

COVID-19 juga menyebabkan 20 hingga 30 peratus kedai baiki komputer kecil-kecilan di kawasan luar bandar Pulau Pinang gulung tikar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast