Anggota Polis DiRaja Malaysia membawa mayat seorang lelaki yang maut ditetak di lot parking Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong. foto AFIQ HAMBALI, 25 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda yang datang untuk kerja memasang khemah majlis di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, dekat Kepong ditemui mati, dengan kesan tetakan di kepala.

Ketika kejadian, mangsa telah ke Blok E untuk membeli makanan sebelum didatangi dua suspek dengan menaiki motosikal.

Salah seorang suspek dipercayai turun dari motosikal lalu menetak mangsa yang berusia 21 tahun di tepi jalan Blok E.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis percaya selepas ditetak, mangsa sambil menahan kesakitan berjalan kaki hingga ke Blok B, sebelum rebah dan meninggal dunia.

“Motif kejadian masih disiasat dan mayat simati dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini polis dan forensik belum menemui sebarang senjata yang digunakan oleh suspek di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di sini.

Seekor anjing pengesan dibawa ke tempat kejadian bagi membantu siasatan seorang lelaki yang maut ditetak di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong. foto AFIQ HAMBALI, 25 NOVEMBER 2020

Mangsa yang bekerja sebagai pemasang khemah majlis kenduri dan acara lain di sekitar Gombak dan Kepong, datang ke kawasan itu bersama rakannya untuk memasang khemah di salah sebuah di situ.

Bagaimanapun, ketika kejadian rakan mangsa menaiki tingkat aras di Blok B PPR berkenaan untuk berurusan.

Beh berkata, mayat mangsa ditemui penduduk dalam keadaan terbaring di atas lantai sekitar jam 10 pagi.

“Hasil siasatan, kita berjaya menahan seorang suspek berusia 25 tahun, disyaki mungkin terlibat dalam kes pembunuhan ini,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut telah dijalankan ke atas suspek yang juga merupakan penghuni di PPR tersebut untuk mengenalpasti motif kejadian dan pembunuhan itu.

Dalam pada itu, Beh meminta penduduk atau saksi kejadian tampil menghulurkan maklumat untuk membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast