Rokok yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2020.

SERDANG – Cubaan seorang lelaki warga tempatan untuk menyeludup 10,594 kotak rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM100,000 tumpas apabila pasukan penguatkuasa dari Unit HMPV Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menghidu kegiatannya semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kegiatan jenayah berkenaan dipatahkan apabila suspek melanggar Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Besar Seri Kembangan.

“Pasukan menahan kereta yang enggan berhenti melalui SJR. Anggota penguatkuasa kemudian mengejar saspek tersebut dan berjaya menahannya dua kilometer daripada lokasi SJR.

“Apabila berjaya diberhentikan suspek masih tidak mahu menurunkan cermin kereta, buka pintu kereta sehingga dipaksa. Apabila dipaksa turunkan kereta, buka bonet didapati rokok pelbagai jenama disimpan di dalam kereta yang dipandu suspek,” katanya pada sidang media hari ini.

Suspek yang berumur 28 tahun, kata Razali, tidak mempunyai rekod lampau jenayah selain tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Sebanyak 7,800 kotak jenis Gudang Garam, 1,800 kotak jenis Nusantara Menthol Mild, 994 kotak jenis Luffman Premium dirampas.

Razali memaklumkan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti berkenaan, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Lelaki tersebut telah kita hantar untuk reman empat hari untuk membantu siasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette