Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Enam kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini, termasuk empat di Sabah dan masing-masing satu di Selangor dan Kuala Lumpur.

Empat kluster di Sabah itu ialah Kluster PTS Sibuga, Kluster Tapak Bina Jesselton, Kluster Dermaga dan Kluster Tempasuk.

Kluster UD SS2 dan Kluster Tapak Bina Awan Baru masing-masing di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 180.

Daripada 180 kluster itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Enggor (126 kes), Kluster Teratai (90 kes) dan Kluster Bintang (71 kes),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Kluster yang telah tamatkan pula sebanyak 175 kluster termasuk Kluster Menara dan Kluster Simera.

Beliau menjelaskan, semakin banyak kluster sejak kebelakangan ini, yang wujud daripada perhimpunan sosial yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ia termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan, katanya.

Menurut laporan siasatan yang diterima, perhimpunan-perhimpunan ini telah turut dihadiri oleh individu-individu yang bergejala.

Sebagai contoh Noor Hisham berkata, Kluster Enggor di negeri Perak dan Kluster Indah Mas di Kuala Lumpur dan Selangor, yang mana kes-kes yang dilaporkan dalam kluster itu bermula dengan perhimpunan keluarga yang seterusnya telah merebak dalam komuniti.

Begitu juga dengan Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah turut berpunca daripada majlis keraian, selain Kluster Mentari di Selangor, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.

Kes berpunca daripada upacara keagamaan melibatkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir di upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan, ujarnya.

“Penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster-kluster ini, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan.

“KKM menggesa orang ramai supaya tetap patuh kepada SOP di semua keadaan dan tempat. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette