rabies Selangor
Gambar hiasan

SIBU – Ancaman wabak rabies di bandar ini kini membimbangkan selepas hampir separuh daripada sampel yang diuji adalah positif, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata, daripada 104 sampel yang diambil secara rambang setakat ini, 50 daripadanya didapati positif rabies, sementara jumlah kes gigitan dan tangkapan anjing liar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mencatatkan angka yang tinggi untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

“Kes gigitan anjing yang direkodkan Majlis Perbandaran Sibu (SMC) ialah sebanyak 1,213 kes. Bagi tempoh yang sama juga, jumlah tangkapan anjing liar yang direkodkan SMC adalah 1,271 ekor,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Plogging (berjoging dan mengutip sampah) bersama penduduk Kampung Nangka di sini.

Dr Annuar berkata, dua buah lagi PBT di daerah ini, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) dan Majlis Daerah Kanowit (KDC), masing-masingnya mencatatkan tangkapan anjing liar sebanyak 470 dan 60 ekor dengan 47 kes gigitan anjing oleh SRDC dan KDC, 90 kes.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka berkata, setakat ini tiga kes kematian akibat Rabies dicatatkan di Sibu, dan program kesedaran perlu dipergiatkan lagi bagi membolehkan orang ramai mengetahui situasi semasa penyakit berkenaan.

“Kalau berdasarkan jumlah sampel dari anjing liar yang positif Rabies, setiap seekor daripada dua ekor anjing liar di Sibu adalah positif rabies. Keadaan ini amat merbahaya,” katanya.

Menurutnya, Sibu kini berada di kedudukan kedua selepas Kuching dari segi jumlah kes yang direkod dan dengan jarak di antara satu kawasan penempatan ke penempatan lain di sini yang hanya kira-kira 20 km turut memudahkan penyakit itu merebak. – Bernama