Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi mengatasi blok pembangkang dalam undi belah bahagi peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan untuk Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu sebaik sahaja undian belah bahagi berakhir sebentar tadi.

“(Seramai) 18 Ahli Parlimen tidak hadir, manakala 95 Ahli Parlimen tidak bersetuju dan 107 Ahli Parlimen bersetuju,” katanya dengan disambut sorakan daripada Ahli Parlimen kerajaan.

“Dua kosong,” sorak mereka.

“27 kosong pun tak apa,” kata Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Seperti biasa, Azhar memutuskan sidang dihentikan selama 10 minit bagi membolehkan undian dijalankan termasuk masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada di dalam dewan.

Sesi penggulungan RUU ini dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ia dilakukan selepas 15 Ahli Parlimen memohon untuk sesi undian belah bahagi dijalankan.

Sesi itu juga berlaku kepada RUU Perbekalan (Belanjawan 2021) bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang turut diluluskan hari ini.

Kementerian Kewangan diperuntukan sebanyak RM35.1 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Untuk rekod, terdapat 25 lagi kementerian akan membuat penggulungan dan kelulusan di peringkat jawatankuasa.

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion kepada Kumpulan Wang Covid-19. – MalaysiaGazette