Diego Maradona

BUENOS AIRES – Doktor peribadi Diego Maradona disiasat polis Argentina bagi membantu siasatan berkenaan kematian mengejut legenda bola sepak dunia itu akibat serangan jantung di kediamannya di Tegre, Rabu minggu lalu.

Doktor berkenaan sedang disiasat kerana mengesyaki wujud kecuaian rawatan dan mungkin pembunuhan.

Polis telah menggeledah kediaman doktor peribadi itu, Leopoldo Luque pada Ahad manakala penyiasat sedang melihat dan menyoal semua kakitangan perubatan yang terlibat dalam merawat dan menjaga kesihatan Maradona.

Doktor berkenaan disiasat oleh polis mengenai tindakannya pada hari terakhir kehidupan Maradona sebelum meninggal dunia.

Luque berada di rumah ketika polis menggeledah klinik milik doktor itu yang dirakam pemberita televisyen ketika polis memasuki kliniknya.

Siasatan dan penggeledahan dilaksanakan polis selepas anak perempuan Maradona dalam kenyataannya mempersoalkan sama ada bapanya diberikan perubatan yang terbaik dan tepat.

Media Argentina melaporkan Luque mungkin disoal siasat sebagai individu di bawah siasatan rasmi berkaitan keraguan mala praxis atau kecuaian.

Namun doktor keluarga itu mempertahankan rawatannya terhadap Maradona selepas polis menggeledah kediamannya.

“Saya terkejut apabila polis datang mengetuk pintu rumah dan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya. Saya telah memberikan rawatan terbaik sedaya upaya saya untuk Maradona, malangnya sedih dengan pemergiannya.

“Tuduhan ke atas saya berkenaan apa yang terjadi (kematian Maradona) adalah tidak adil. Saya tidak pernah melihat anak perempuan Maradona namun seluruh ahli keluarganya percaya saya.

“Namun saya rasa ada pihak cuba menjadikan saya kambing hitam dalam kematiannya.

“Walaupun Diego ada masalah ketagihan pil dan alkohol, dia sebenarnya ‘menghukum’ diri sendiri dengan cara yang saya tidak membenarkan sama sekali bukan hanya sebagai doktor malah juga sebagai seorang sahabat akrabnya,” katanya.-MalaysiaGazette