Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K Devan.

KUALA LUMPUR – Pasukan Negeri Sembilan mendapat sentuhan pengendali baharu apabila melantik K.Devan sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Berita itu diumumkan menerusi laman media sosial rasmi milik pasukan apabila bekas ketua jurulatih Petaling Jaya City FC itu akan menggantikan Sazali Saidon yang membimbing pasukan dalam saingan musim 2020.

Negeri Sembilan gagal menampilkan prestasi terbaik mereka dalam saingan Liga Perdana musim lalu apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ke-11 selepas meraih 11 mata hasil dari tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan sepanjang musim.

Sementara iti, Devan bukanlah satu nama yang asing bagi pasukan Negeri Sembilan apabila pengendali berusia 59 tahun itu pernah dilantik sebagai ketua jurulatih sebanyak dua kali sebelum ini.

Kali pertama Devan bersama Negeri Sembilan iaitu pada musim 2005/2006 yang menyaksikan beliau membantu pasukan tersebut memenangi gelaran Liga Super.

Kali kedua ialah pada musim 2015 ketika skuad The Jangs beraksi di Liga Perdana.

Tanggungjawab besar menanti Devan pada musim hadapan kerana dia perlu memperbaiki prestasi dan mengelakkan pasukan daripada mengulangi prestasi hambar sepertimana yang ditampilkan pada musim 2020. – MalaysiaGazette