Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Anugerah Buku PNM 2020 yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi PNM pada 30 November 2020.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penganjuran Anugerah Buku PNM 2020 merupakan wadah terbaik untuk menobatkan buku-buku bermutu dalam senarai terbitan tempatan serta mengangkat karya terbaik Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, anugerah ini juga merupakan penghargaan atas sumbangan pemain industri perbukuan yang terdiri daripada penulis, penerbit, pembaca dan persatuan terhadap pembangunan buku negara selain memartabatkan ilmu dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Anugerah ini juga adalah untuk menggalakkan penyerahan buku kepada Perpustakaan Negara Malaysia di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) sebagai khazanah warisan bangsa dan negara serta menjadi pemangkin dan sokongan kepada inisiatif Industri Kreatif Negara selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020).

“Berdasarkan rekod statistik, judul buku baharu yang didaftarkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) pada tahun 2019 adalah sebanyak 18,566,” katanya.

Ujarnya, penganjuran kali ini telah menerima penyertaan yang memberangsangkan dengan jumlah pencalonan keseluruhan yang diterima oleh PNM adalah sebanyak 364 judul bagi kategori dewasa dan kanak-kanak yang merangkumi terbitan Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Bagaimanapun, hanya 164 judul sahaja berjaya melepasi kriteria dan syarat yang ditetapkan.

Seramai 22 orang pemenang iaitu 11 penulis dan 11 penerbit memenangi wang tunai bernilai RM3,500 setiap seorang beserta trofi dan sijil penghargaan.

Buku-buku yang dipertandingkan adalah mencakupi buku-buku terbitan kali pertama tahun 2018 dan 2019 yang diserahkan kepada PNM.

Kriteria utama buku-buku yang diserahkan adalah karya asli yang dihasilkan oleh warganegara Malaysia dan diterbitkan oleh penerbit Malaysia serta mematuhi standard antarabangsa seperti International Standard Book Number (ISBN), Pengkatalogan dalam Penerbitan (PdP) dan kod jalur.

Justeru, para penerbit, penulis, pencetak dan semua pemain dalam lingkungan industri perbukuan diseru meneruskan inisiatif bagi menghasilkan karya yang berkualiti agar dapat membina sebuah masyarakat Malaysia berilmu yang maju dan berpendapatan tinggi.

Nancy berharap agar agensi berkaitan dapat menerbitkan lebih banyak karya penulisan dan penerbitan buku terjemahan berkaitan bidang seni, budaya, warisan dan pelancongan ke dalam bahasa asing.

Usaha ini sememangnya dapat menarik minat masyarakat antarabangsa mengenali budaya masyarakat majmuk dan dapat mengetahui destinasi pelancongan di Malaysia sekaligus dapat menarik minat golongan pencinta buku atau literary tourist untuk melancong ke destinasi menarik di negara Malaysia.-MalaysiaGazette