Da'i Farhan hadir bagi mengikuti pertuduhan penipuan urusan sijil halal KKM melibatkan isterinya, Noorainul Naqim Mohd Radzi di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 MAC 2020

HEBOH dua tiga hari ini dalam dunia maya khususnya Twitter golongan yang bicara isu salahlaku dan tuduhan jenayah seksual ke atas salah seorang Daie selebriti. Tangkapan sudah dibuat dan proses pendakwaan sedang berjalan. Saya tidak mahu komen isu batang tubuh peribadinya secara spesifik.

Isu rancangan televisyen dalam menaikkan tokoh muda dalam bidang agama dan nasihat telah bermula dalam negara kita untuk sekian tempoh yang lama. Program Imam Muda, Pencetus Ummah, Daie Muda dan seumpamanya telah pun berjalan dengan trend yang dikehendaki oleh penerbit televisyen dengan trend tertentu.

Saya rasa wajar untuk pihak penerbit untuk menilai kembali sejauh mana program sedemikian menghasilkan impak yang diharapkan, dengan muhasabah secara jujur sejak tempoh ia bermula.

Tanpa menafikan banyak sisi positif yang boleh diambil dan kesan kepada masyarakat dalam memilih idola yang bersesuaian, saya lebih memilih untuk melihat kesannya kepada peserta program itu sendiri dan bagaimana ia menjadi rujukan kepada masyarakat selepas ia graduate daripada program itu sebagai seorang idola yang diangkat dan disanjung.

Imam Syafie RHM berkata : Apabila seseorang hadath (budak baru belajar) mendapat jawatan (pangkat dan kelayakan) maka dia akan tertinggal ilmu yang banyak.

Guru saya menyebut: Apabila seorang remaja dilantik (sebagai memegang tampuk jawatan yang penting) sebelum masanya, maka sesungguhnya dia telah mendedahkan dirinya kepada kehinaannya sendiri.

Apabila seseorang yang tidak cukup ilmunya, tidak matang lagi pemikirannya, mendapat tempat yang tinggi dalam kalangan masyarakat, maka dia akan sibuk dengan kerja-kerja kemasyarakatan termasuklah mengajar dan melayan kerenah dan tuntutan ‘ummah’ itu.

Ini menjadikan dia tidak mampu (kerana terlalu sibuk dengan jadual hariannya) untuk membina dirinya dengan pembinaan yang betul dengan asas yang kukuh hingga akhirnya dia kecundang samada ‘habis modal’ nak mengajar dan mengulang-ulang benda yang sama (dan lawak yang sama), atau terperangkap dengan jeratan nafsu dan syaitan yang lebih bahaya.

Benar, ummah memerlukan orang yang betul untuk memandu dan menyampaikan dakwah kepada mereka dan menjadi idola kepada generasi muda mereka.

Benar, suara lantang jahiliyah tidak cerewet pun dalam menilai ‘daie’ mereka dalam menyebarkan dakyah jahiliyah dalam masyarakat dan ia terus menerus membina idola mereka untuk menyesatkan ummah.

Tetapi janganlah pula kita, dengan kesedaran itu bertindak di luar kewarasan dan kematangan.

1. Pilihlah orang yang betul untuk diletakkan sebagai idola masyarakat. Ketatkan syaratnya lebih-lebih lagi zaman media sosial yang serba canggih. Bagi saya paling kurang dia perlu berstatus berkahwin dan mempunyai perakuan pembelajarannya daripada institusi yang sah, serta mendapat tazkiyah daripada guru-gurunya (kalau ijazah lebih baik).

2. Ummah tidak menjadi semakin baik dengan suburnya dan munculnya ‘dajjal-dajjal’ yang bertopengkan agama tetapi hanya mahu mengaut keuntungan dunia.

3. Jangan samakan tabiat pembinaan ummah dengan tabiat bagaimana jahiliyah menghancurkannya. Ia ibarat menyamakan kerja orang yang menanam biji benih dan menyemainya dengan orang yang kerjanya menebang pokok.

Islam itu suci, pendekatannya juga murni, penuh disiplin dan peraturan. Bukan taram sajalah. Tiada ‘anomali’ dalam Islam.

Adapun ajaran jahiliyah, pendekatannya penuh muslihat dan tipu daya, tiada peraturan dan tidak berdisiplin. Semuanya berasaskan ‘asalkan jadi’ tanpa lihat kesan, akibat dan jalannya.

4. Melahirkan seorang yang boleh dijadikan rujukan memakan masa yang panjang. Imam Malik RHM tidak berfatwa sebelum disaksikan kelayakannya oleh 70 orang gurunya dalam berfatwa. Imam Syafie RHM bila diberi izin oleh gurunya Imam Malik RHM baru beliau berfatwa.

Saya memahami kecepatan perubahan semasa yang menuntut kita untuk berkembang dan selari dengan peredaran zaman, tapi saya ingin nyatakan bahawa ilmu tabiatnya bukan begitu.

Tabiat ilmu itu perlahan, sikit-sikit, lalui proses yang pelbagai, ujian tertentu, sampailah masanya barulah ia boleh dipetik hasilnya. Ketika itulah ia takkan putus-putus mengeluarkan buahnya.

تؤتي أكلها كل حين بإذن ربها
“Pohon itu memberikan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya” – Surah Ibrahim

Jika ia dipotong sebelum masanya, kita hanyalah akan rugi, sepohon pokok yang baru nak hidup. Hanya mampu menjadi kayu api pemanas badan, tidak mampu dihidang sebagai makanan.

Sebenarnya nasihat ini terpakai untuk semua termasuklah diri saya. Saya sendiri sentiasa berpegang dengan pesanan guru saya bahawa :

لا تنطق حتى ينطقك الله

“Janganlah engkau berkata-kata, sehingga Allah menjadikanmu berkata-kata”

Demikianlah pesanannya, yang saya pegang hingga ke hari ini.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamel Isa
(Penolong Setiausaha Majlis Ulama Isma)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast