Orang Kurang Upaya (OKU), Rosidah Abdul Aziz dilihat keluar dari rumahnya dengan berkerusi roda selepas ditemubual khas oleh Malaysia Gazette di Taman Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib menimpa Rosidah Abdul Aziz yang menetap di Perumahan Polis Desa Tasik di sini.

Wanita berusia 56 tahun berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) itu sudah 13 tahun menggunakan kerusi roda dalam urusan seharian gara-gara ketumbuhan di tulang belakang.

Namun sejak lima tahun lalu, dia ditinggalkan ibarat digantung tidak bertali apabila suami tidak pulang ke rumah yang didiami mereka sejak 25 tahun lalu.

Dia hanya meneruskan kehidupan dengan berniaga secara kecilan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM300 bagi mengharung kehidupan bersama tiga anaknya yang mana seorang mengalami sakit kemurungan dan seorang lagi adalah OKU.

Orang Kurang Upaya (OKU), Rosidah Abdul Aziz dibantu anaknya, Amal Najihah Basri, 18, ketika ditemubual khas oleh Malaysia Gazette di Taman Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

Selain itu, Rosidah dan anak-anak mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM400 dan Baitulmal juga RM400 serta bantuan lampin pakai buang dan ubatan.

Bagaimanapun pada pertengahan tahun ini, Rosidah diuji lagi kerana dia mendapat surat arahan keluar dari rumah yang didiami sekarang selepas suaminya tamat dalam perkhidmatan polis sejak awal tahun ini.

“Saya sudah buat rayuan dan kalau ikut peraturan, memang tidak boleh lagi tinggal di sini kerana suami sudah pencen. Tapi saya minta tangguh keluar hingga anak bongsu saya habis Sijil Peperiksaan Malaysia.

“Itu janji saya akan keluar kerana anak saya ada masalah tulang rapuh untuk berjalan jauh. Rumah ini sekarang dekat dengan sekolahnya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Orang Kurang Upaya (OKU), Rosidah Abdul Aziz menunjukkan notis mengosongkan dan penyerahan perumahan khas jabatan PDRM ketika ditemubual Malaysia Gazette di Taman Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

Anak sulung Rosidah kini berusia 33 tahun dan mengalami masalah kemurungan ketika di Kolej Matrikulasi sejak 14 tahun lalu.

Dia kini menumpang harap dengan anak kedua berusia 29 tahun yang bekerja di syarikat swasta dan dua anak lain.

Ditanya mengenai suaminya, lama wanita kelahiran Johor ini mendiamkan diri sebelum memberi jawapan.

Katanya, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengeruh hubungan antara dia dan suaminya itu.

“Yang saya tahu suami saya tinggal di Klang Lama. Sudah lama tidak balik sejak lima tahun lalu dan  tahun ini tidak pernah balik lagi. Sebelum ini ada sesekali balik tapi jumpa anak di luar dan tidak datang ke rumah.

“Dia kata hendak beri wang sara hidup dia tidak mampu. Tapi Alhamdulillah saya mendapat bantuan JKM, Baitumal selain meniaga kecilan nasi lemak untuk dibawa ke kelas Fardu Ain.

“Saya hendak ucap terima kasib kepada JKM dan Baitumal yang banyak tolong saya. Katil kerusi roda, kerusi roda bermotor dan beberapa kali pembedahan saya dan anak bongsu, semuanya ditanggung Baitulmal,” katanya sebak.

Orang Kurang Upaya (OKU), Rosidah Abdul Aziz bercakap pada ditemubual khas oleh Malaysia Gazette di Taman Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

Kata Rosidah, ketika ini dia berharap permohonan mendapat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dipohon pada minggu lalu akan dipermudahkan urusan.

Tambahnya, rumah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dapat menyelesaikan kebuntuan keluarganya kerana sewa yang lebih murah berbanding sewa rumah lain di ibu kota yang rata-rata kadar sewa adalah RM800 sebulan.

“Saya memang kena keluar dan tidak boleh duduk lama. Itu kata pegawai ketika saya buat rayuan di IPK (Ibu Pejabat Kontijen) Polis sebelum ini.

“Sewa rumah sebelum ini suami bayar menerusi potongan gajinya. Jadi bila suami sudah pencen, saya dapat surat kena keluar rumah ini.

“Harapan saya ketika ini mencari rumah untuk pindah. Namun saya bersyukur mendapat pengerusi perumahan yang baik dan memahami selain jiran-jiran yang sentiasa membantu,” katanya sambil bergenang air mata.

Menyentuh takdir hidupnya yang tidak sama seperti orang lain, Rosidah berkata, perasaan sedih sentiasa hadir bertamu kerana bukan mudah untuk melalui hari-hari bersama dua anak yang sakit.

Namun ujarnya, dia perlu kuat demi untuk membesarkan anak-anaknya.

Orang Kurang Upaya (OKU), Rosidah Abdul Aziz melakukan kerja-kerja harian selepas ditemubual khas oleh Malaysia Gazette di Taman Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

“Saya pergi meniaga dan biarlah apa orang hendak kata kerana saya mahu usaha sendiri. Ujian sentiasa ada apabila tinggal dengan dua anak yang tidak mahu keluar umah kerana mereka tiada kekuatan berdepan orang ramai.

“Saya akan terus berusaha kerana tidak mahu bergantung dengan orang ramai dan saudara sebaliknya hanya bergantung dengan Allah SWT sahaja,” katanya menangis.

Rosidah juga tidak menyalahkan ketentuan Allah SWT dengan apa yang dilalui kerana sebagai manusia, dia yakin banyak dosa yang dilakukannya sebelum ini.

“Allah SWT hendak uji untuk hapus dosa saya. Semua manusia berdepan ujian cuma tidak sama sahaja. Alhamdullilah saya dan keluarga masih boleh teruskan hidup,” katanya menahan sebak di dada.

Ditanya apa yang ditakuti jika dia pergi meninggalkan anak-anaknya terlebih dahulu, Rosidah akui perasaan itu sering terlintas di hatinya.

Katanya, rasa susah hati selalu bermain di fikiran bagaimana anak-anak terutama yang sakit dan OKU akan meneruskan hidup selepas pemergiannya nanti.

“Dalam keadaan saya begini, saya tidak tidak tahu macam mana saya akan pergi nanti. Tapi saya sudah pesan kepada anak nombor dua agar menjaga abang dan adiknya dengan baik,” katanya sayu.

Orang Kurang Upaya (OKU), Rosidah Abdul Aziz dilihat keluar dari rumahnya dengan berkerusi roda selepas ditemubual khas oleh Malaysia Gazette di Taman Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 DISEMBER 2020.

Berkongsi doa yang dipohon setiap kali selepas solat, Rosidah berkata, dia tidak putus-putus meminta diberi kekuatan dan semangat sahaja.

“Saya kena minta tolong dengan Allah SWT kerana tiada siapa-siapa lagi.

“Saya sanggup buat apa sahaja untuk anak-anak dan harapan saya agar anak-anak saya tidak bergantung sebagaimana apa yang saya lalu sekarang yang bergantung dengan JKM dan Baitumal.

“Biarlah anak-anak boleh terus hidup dengan menjadi manusia yang bijak serta cerdik agar mereka berjaya dalam hidup pada masa akan datang,” katanya.

Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Rosidah dan keluarga, boleh menghubungi talian 019-6400349 (Rosidah).

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional – 1410029000486953 (Rosidah Abdul Aziz). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast