SHAH ALAM – Polis sedang menyiasat dakwaan syarikat Top Glove di Klang bahawa pekerja asing mereka dikasari dan ditendang anggota penguatkuasa di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, polis telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian yang didakwa berlaku di asrama pekerja di Meru, Klang.
“Ya saya sahkan..kita ada terima laporan polis daripada Top Glove petang semalam berkenaan dakwaan itu (kekasaran penguatkuasa).
“Kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media khas itu di Ibu Pejabat Kontinjem Selangor di sini.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor enggan memperincikan lebih lanjut mengenai insiden itu kerana enggan mengganggu siasatan polis.
Semalam tular video berdurasi 19 saat yang memaparkan insiden pekerja asing Top Glove didakwa telah diminta berguling di atas tanah oleh individu yang disyaki seorang anggota berdasarkan seluar celoreng.
Dalam perkembangan berkaitan kes berkenaan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, siasatan terhadap insiden itu masih diteruskan.
Kata beliau, beberapa tindakan awal dilaksanakan pihaknya dan pada masa yang sama menegaskan setiap anggota yang terlibat dalam apa-apa penugasan tidak akan bertindak luar batasan.
“Sebaliknya anggota akan menjalankan tugas seperti yang diarahkan demi menjaga keselamatan negara dan awam, di sampinhg mengharapkan masyarakat yang menjalani tempoh kuarantin di kawasan PKPD memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya tahu anggota ini bertindak melebihi batas dan saya minta maaf mengenai perkara itu.. tapi pada masa sama anggota tentera ini bukan bertindak sesuka hatinya.
“Kalau bertindak sesuka hati sudah pasti banyak kes melibatkan penderaan berlaku,” katanya dalam satu sidang media di Port Dickson hari ini. – MalaysiaGazette