Tan Sri Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentuk pandangan negatif dan jahat terhadapnya sehingga mendorong kepada penamatan kontrak perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada 2018.

Didorong dengan tekad itu, katanya, khidmatnya ditamatkan secara tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah oleh bekas perdana menteri itu.

“Plaintif (Mohamed Apandi) menegaskan akan mengemukakan bukti bahawa defendan pertama (Dr Mahathir) telah membentuk pandangan negatif dan berbisa terhadap plaintif sehingga membawa kepada pemecatannya,” katanya melalui afidavit jawapan kepada penyata pembelaan yang difailkan oleh Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia, selaku defendan kedua.

Bekas Peguam Negara itu berkata, beliau akan mengemukakan bukti bahawa peranan Yang di-Pertuan Agong tidak diambil kira atau diketepikan oleh Dr Mahathir terhadap pemecatannya.

“Oleh itu, terdapat kegagalan perlembagaan dalam proses penamatan kedudukan plaintif sebagai Peguam Negara,” katanya.

Mohamed Apandi juga berpendapat bahawa Dr Mahathir dan pendirian kerajaan seperti dinyatakan dalam penyata pembelaan bukan sahaja tidak dapat dipertahankan malah merungkai secara tertutup peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Mohamed Apandi berdoa agar mahkamah membenarkan tuntutannya dengan kos.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Mohamed Apandi, memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi telah menetapklan 11 Disember ini untuk pengurusan kes.

“Ia bagi kami memfailkan permohonan penzahiran dokumen untuk dokumen tertentu,” katanya.

Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 12 November lalu, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan mereka menamatkan kontrak perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal tersebut.

Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia memfailkan penyataan pembelaan sebagai maklum balas terhadap saman RM2.2 juta yang difailkan oleh bekas Peguam Negara itu.

Pada 13 Oktober lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Bernama