Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi mengikuti kelas di dalam khemah bagi mendapat akses Internet.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan capaian jalur lebar di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah, Kelantan lemah hingga menyebabkan seorang pelajar terpaksa belajar di dalam khemah yang didirikan di atas bukit di belakang rumahnya.

Ia hasil pertemuan pegawai SKMM dengan keluarga pelajar serta menjalankan pemantauan di rumah pelajar berkenaan baru-baru ini.

Kisah Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20, pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang mengikuti ‘kelas’ di dalam khemah yang didirikan oleh bapanya Mohd Azmi Ahmad, di atas bukit mendapat perhatian.

Khemah itu didirikan selepas kawasan tersebut di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 21 November lalu, menyebabkan pelajar berkenaan tidak dapat ke bandar untuk mendapatkan akses Internet.

SKMM berkata, hasil pertemuan itu, pihaknya mengakui liputan jalur lebar mudah alih di situ lemah kerana lokasi kedudukan kampung agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada dan terlindung disebabkan oleh keadaan muka bumi yang berbukit.

Beberapa langkah sementara termasuk menyediakan menara pemancar mini dan menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5km dari kampung itu sedang dirancangkan untuk kelulusan pihak berkuasa berkenaan.

Sekiranya kelulusan daripada semua pihak yang berkenaan boleh diperolehi dengan cepat, kualiti liputan dijangka dapat diperbaiki menjelang Januari 2021.

Oleh itu, sementara menunggu langkah naik taraf diselesaikan, SKMM menggesa pelajar di kawasan berkenaan untuk memanfaatkan kemudahan PIK yang terdekat di PIK Kusial Bharu, yang terletak 3.5km dari rumah pelajar tersebut dan tidak membahayakan diri terhadap sebarang risiko kemalangan.

“Pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan baik untuk pembelajaran secara dalam talian diseru memanfaatkan kemudahan yang terdapat di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.

“Setiap PIK yang dibiayai oleh SKMM mempunyai kelengkapan ICT, capaian Internet yang laju dan petugas sepenuh masa yang boleh membantu pengunjung yang datang untuk menggunakan perkhidmatan PIK,” katanya.

Setiap PIK dilengkapi 20 unit komputer, liputan Wifi dan ruang berhawa dingin untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

Pengurus PIK juga boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar-pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian.

Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my – MalaysiaGazette