KUALA LUMPUR – Sekumpulan pemuda bergaduh di luar Plaza Low Yat di Jalan Imbi di sini malan ini kerana berebut pelanggan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, balai polis Tun H.S.Lee menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan kejadian pada pukul 7 malam itu.

“Bertindak atas maklumat, Ketua Polis Balai Tun H.S.Lee, pasukan bahagian jenayah, Unit Rondaan Bermotosikal dan kereta MPV polis bergegas ke lokasi kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati mereka adalah penjual kedai perkakasan dan komputer.

“Siasatan lanjut polis mereka terlibat pergaduhan kerana berlaku rasa tidak puas hati dalam merebut pelanggan ke kedai menjual komputer dan laptop masing-masing,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi seminit tular menunjukkan sekumpulan pemuda terlibat dalam pergaduhan dengan beberpaa orang cuba mententeramkan dua pemuda.

Menurut Mohamad Zainal, polis telah menahan 42 individu dan mereka dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk diambil keterangan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – MalaysiaGazette