Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues (kanan) selepas menerima jersi 'Home' dan 'Away' baharu pasukan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya. foto IHSAN PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM), 04 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Walaupun setahun tanpa sebarang aksi, Harimau Malaya bakal kembali dengan penampilan berhaya apabila menerima jersi baharu.

Buat kali pertama sejak tahun 2007 jersi utama tampil dengan reka bentuk berkolar.

Majlis pelancaran jersi Nike edisi 2020-2022 berlangsung secara maya menerusi video pengenalan yang disiar serentak di semua media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube hari ini.

Seramai10 pemain kebangsaan terdiri daripada kapten, Aidil Zafuan Abd. Radzak, Shahrul Saad, Syahmi Safari, La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Nor Azam Abdul Azih, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Farizal Marlias, selain ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menggayakan jersi baharu itu.

Sebagai simbolik pelancaran, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjadi individu pertama menerima kedua-dua jersi home dan away daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sejak Nike menaja jersi pasukan kebangsaan, semua tujuh reka bentuk jersi home sebelum ini iaitu pada 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018 tidak berkolar.

Jersi kedua atau away turut menampilkan kelainan apabila buat kali pertama tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan sebelum ini.

Menurut Hamidin, jersi home yang baharu  biar pun ringkas, namun tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi away pula  akan memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

“Pasukan Harimau Malaya pasti akan lebih garang selepas ini kerana bukan saja jersi home malah jersi away juga menampilkan warna tradisi kita iaitu hitam dan kuning.

“Ini bermakna, dalam kesemua aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama  pemain dan penyokong.

“Saya yakin apabila pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di atas padang, seterusnya meraih lebih banyak kemenangan dan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Terima kasih juga kepada Nike yang masih terus bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 13 tahun ini (sejak 2007),” kata Hamidin.

Tanpa sebarang aksi sepanjang tahun ini,  Harimau Malaya yang kini di kedudukan 153  dalam ranking FIFA akan kembali meneruskan saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh pada Mac depan, selain Piala AFF 2020 yang ditunda ke April dan Mei 2021.

Jersi baharu pasukan kebangsaan sudah boleh didapati mulai hari ini di outlet Nike terpilih serta secara atas talian di www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com.

Penjualan secara fizikal di 24 outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua outlet Football Republic di seluruh negara bermula pada 11 Disember.

Jersi ‘home’ dan ‘away’ masing-masing dijual pada harga RM299. – MalaysiaGazette