KUALA LUMPUR – Dua pasukan iaitu pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur dan Perak dikaitkan dengan bekas pemain sayap Kedah, Hadin Azman bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Namun Hadin dilaporkan masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai Perak atau beraksi bersama negeri kelahirannya itu.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini menjadi salah satu daripada barisan pemain yang tidak diberikan kontrak lanjutan oleh pengurusan pasukan Kedah bagi menghadapi saingan musim depan.
Walaupun membantu Kedah menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sekaligus mara ke saingan Piala AFC musim hadapan, namun nama Hadin tiada dalam perancangan dan Kedah dilihat mahu merombak barisan pemain tempatan.
Sementara, Kuala Lumpur dan Perak masing-masing sedang mempersiapkan pasukan menjelang aksi Liga Super musim hadapan.
Perak sebelum ini memuktamadkan beberapa pemain baharu seperti bekas pemain import Kedah serta penjaga gol, Shakir Hamzah, Azri Abdul Ghani dan Danish Haziq. – MalaysiaGazette