Sesi pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara pihak PTPTN dan MySutera Sdn Bhd hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil langkah proaktif dalam mengadakan pelbagai promosi bagi menggalakkan masyarakat menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk tujuan pendidikan tinggi.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sejak mula diperkenalkan pada 2004, SSPN yang kini terdiri daripada SSPN-i dan SSPN-i Plus menawarkan pelbagai manfaat menarik kepada pendeposit.

Ia termasuklah dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai berdasarkan simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, cabutan hadiah dan perlindungan takaful yang komprehensif sehingga RM1 juta, katanya.

“Sempena kolaborasi strategik antara PTPTN dan My-Sutera Sdn Bhd, Kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ akan dilancarkan sebagai salah satu pendekatan untuk merancakkan amalan penabungan dari seawal usia anak-anak.

“Seperti sedia maklum, Canggih merupakan jenama kelengkapan pakaian seragam dan uniform sekolah yang dikeluarkan oleh My-Sutera Sdn Bhd. Menerusi kempen ini, pelanggan yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan di dalam SSPN dalam tempoh promosi bermula 1 Disember sehingga 31 Disember 2020 akan berpeluang menerima SSPN Reward dalam bentuk diskaun digital (e-baucer) sehingga 35 peratus.

“Diskaun ini boleh ditebus untuk pembelian barangan Canggih secara dalam talian menerusi laman sesawang Canggih,” katanya.

Ahmad Dasuki Abdul Majid

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) PTPTN dengan My-Sutera Sdn Bhd yang disiarkan secara virtual, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan; Pengerusi Kumpulan My-Sutera Sdn Bhd, Annas Ahmad dan Pengarah Eksekutif Kumpulan My-Sutera Sdn Bhd, Laila Satria Suhaimi.

Ahmad Dasuki berkata, melalui kempen itu, ia diharap dapat menarik minat ibu bapa menabung dalam SSPN selain mereka juga boleh mendapatkan kelengkapan sekolah berkualiti dengan harga lebih murah menerusi diskaun penjimatan yang ditawarkan.

Ujarnya, memandangkan sesi persekolahan dijangka bermula bulan depan, beliau amat yakin kempen itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, sekali gus mampu melonjakkan kutipan deposit SSPN.

Tambahnya, secara keseluruhan sehingga 31 Oktober tahun ini, sebanyak 4.75 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM7.02 bilion.

Manakala, bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2020, PTPTN telah menerima deposit SSPN berjumlah RM1.1 bilion atau 75.57 peratus daripada sasaran tahun 2020 iaitu RM1.5 bilion.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif My-Sutera Sdn Bhd, Laila Satria Suhaimi berkata, perjanjian persefahaman antara PTPTN dan syarikatnya itu mampu mencirikan keazaman, kefahaman dan kesefahaman serta ketenangan dan kesabaran dalam mementaskan kesemua inisiatif utama.

Inisiatif tersebut adalah program Job Matching melibatkan pencarian Vendor Jahitan di kalangan peminjam PTPTN, pembukaan dan penambahan akaun SSPN serta bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN melalui platform e-commerce MySutera, Program CSR dan pelbagai inisiatif lain yang akan diusahakan bersama.

“Semua ini adalah merupakan tugas besar yang menuntut kecekalan dan kesungguhan kedua-dua belah dalam memastikan keberhasilan output yang maksima demi kesejahteraan semua lapisan pemegang taruh PTPTN dan My-Sutera.

“Dengan kesepaduan niat dan keikhlasan kedua-dua pihak, sumbangan kepakaran dan pengalaman bersama serta sokongan daripada semua, saya menaruh keyakinan tinggi agar perjalanan kerjasama ini akan mengundang keberkatan dan dipermudahkan jua oleh yang maha esa,” ujarnya.

PTPTN hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan My-Sutera Sdn Bhd.

Menerusi kolaborasi itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mewujud dan meningkatkan hubungan kerjasama dalam aspek pembangunan modal insan, tanggungjawab sosial korporat dan pembudayaan simpanan pendidikan.

Gimik pelancaran kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN
Wan Saiful Wan Jan, dan Pengerusi Kumpulan MySutera Sdn Bhd, Annas Ahmad.

Majlis itu menyaksikan dua inisiatif yang pertama hasil kerjasama di antara PTPTN dan My-Sutera Sdn Bhd iaitu pelancaran Kempen ‘Canggihlah Simpan di SSPN’ dan penyerahan Zakat Perniagaan oleh My-Sutera Sdn Bhd kepada PTPTN bagi membantu golongan asnaf. – MalaysiaGazette