Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menganggarkan kira-kira 250,000 permohonan akan diterima di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bermula pada 16 November sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, sehingga Rabu sebanyak 478 permohonan daripada majikan telah diterima membabitkan 1,980 PATI  menerusi emel sebelum ini.

“Permohonan tersebut masih lagi dalam proses verifikasi dan berkemungkinan mulai minggu hadapan majikan-majikan ini akan mula mendapat senarai pekerja yang diluluskan.

“Saya akui proses tersebut sedikit lambat dalam tempoh dua minggu ini kerana kami perlu berhati-hati dengan pandemik Covid-19 dan sekatan-sekatan perjalanan.

“Saya telah pun memaklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa yang lain supaya aturan lebih lancar dapat dibuat kerana majikan perlu datang ke JIM bersama pekerja mereka (selepas diluluskan),” katanya dalam sidang media Pelan Rekalibrasi PATI di sini hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, jika majikan tersebut mempunyai bilangan pekerja yang terlalu ramai melebihi 300 orang, JIM akan pergi ke premis mereka untuk membuat verifikasi.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai majikan yang ingin mengambil pekerja dari depoh tahanan, beliau berkata, ia tertakluk kepada PATI di bawah dua kategori kesalahan yang telah dinyatakan.

Katanya lagi, dianggarkan kira-kira 12,400 PATI berada di 14 depoh di seluruh Semenanjung membabitkan lima negara utama iaitu Myanmar, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.

“Antara syarat-syarat permohonan, majikan perlu mempunyai kuota kelayakan menggajikan pekerja asing berdasarkan nisbah kelayakan semasa dan ia terhad kepada empat sektor iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian dan perladangan.

“Wang cagaran bagi seorang pekerja adalah RM500, fi rekalibrasi (RM1,500), levi sektor perkilangan dan pembinaan (RM1,850), levi sektor perladangan dan pertanian (RM640), pas (RM60) dan kos prosesan (RM125),” ujarnya.

Pada 12 November lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI yang merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula khas untuk mengurus PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat-syarat ketat  JIM dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette