Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Menteri Mengenai Covid-19 hari ini, bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri, dengan mengehadkan pelaksanaan kawalan itu hanya di beberapa lokaliti yang masih dalam zon merah.

Tujuh negeri itu ialah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Labuan dan Johor.

Negeri-negeri itu akan kembali berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai tengah malam esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga negeri yang dilanjutkan PKPB selama dua minggu mulai esok sehingga 20 Disember ini ialah Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, tiga negeri itu terpaksa dilanjutkan PKPB berikutan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kumulatif kes positif Covid-19 masih menunjukkan peningkatan yang tinggi.

Katanya, bagi negeri yang kembali kepada PKPP, masih ada beberapa daerah, mukim atau lokaliti di negeri itu diletakkan dalam zon merah dan akan diteruskan pengawalan bawah PKPB atau PKPD.

“Sebagai contoh, Pulau Pinang tamat PKPB, tetapi ada dua lokaliti dalam negeri ini iaitu Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 12 Barat Laut masih zon merah. Dua mukim ini akan kekal dengan PKPB untuk tempoh dua minggu lagi.

“Begitu juga Kelantan, walaupun tamat PKPB esok, tetapi empat daerah akan dilanjutkan PKPB sehingga 20 Disember ini, iaitu Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Manakala Madrasah Addniah Falahiah Kampung Dalam Huma di Pasir Puteh diletakkan bawah PKPD kerana dikesan ada kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi negeri yang dilanjutkan PKPB, ada beberapa daerah, mukim atau lokaliti yang sudah bebas dari positif Covid-19 akan kembali kepada arahan PKPP.

“Seperti di Selangor, walaupun seluruh negeri itu masih PKPB, tetapi daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor akan ditamatkan PKPB mulai esok dan kembali kepada PKPP,” katanya. – MalaysiaGazette