RAWANG – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) enggan berkompromi lagi dengan mana-mana pihak yang ingkar arahan beroperasi secara haram di tanah rizab lembangan Sungai Selangor.
Buktinya, hari ini, MPS apabila bertindak merobohkan bengkel jentera berat dan barangan lusuh serta sebuah kandang lembu yang beoperasi di tanah rizab Sungai Selangor, di Jalan Kuala Garing hari ini.
Bengkel dan kandang itu dipercayai telah beroperasi lebih 15 tahun lalu, telah diberikan notis beberapa kali untuk berhenti operasi tetapi pemiliknya tetap degil.
Berikutan itu, MPS melaksanakan Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di tiga premis berkenaan yang bermula ira-kira jam 10 pagi tadi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang sendiri turun ke lokasi berkata, tindakan ini untuk mengelakan sebarang pencemaran sungai pada masa hadapan.
“Kita roboh tempat ini kerana pemilik ini beroperasi secara haram di tanah milik kerajaan, selain sangat dekat dengan Sungai Garing yang menjadi sumber air Sungai Selangor, tidak sampai 10 meter. Ikutkan ini tanah Associated Pan Malaysia Cement (APMC) tetapi pakajan sudah tamat dan menjadi milik kerajaan.
“Pemilik bengkel serta kandang ini sudah diberikan notis pengosongan beberapa kali, apabila notis tamat tempoh, kita datang ke sini mendapati ianya masih beroperasi dan tiada tindakan diambil oleh pemiliknya.
“Sekiranya ia tidak menghentikan operasi, dikhuatiri pencemaran sungai akan berlaku di masa hadapan kerana risiko itu ada,” katanya dalam sidang media.
Sebelum ini pada 1 Disember lalu, pihak berkuasa tempatan itu menyita sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab sungai di sini.
Manakala 24 November pula dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang terletak hanya satu meter dari Sungai Rawang turut dirobohkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pernah memberitahu sebanyak lapan premis dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh.
Dalam pada itu, Shamsul turut mendedahkan terdapat sedikit provokasi dan kekecohan sedikit di kandang lembu apabila pemiliknya enggan membenarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.
“Memang ada provokasi tapi kita tidak penduli lagi kerana arahan sudah diberikan, notis juga telah dihantar terlebih dahulu walaupun tidak ada keperluan,” tegasnya. – MalaysiaGazette