KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menegaskan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO akan menyegerakan penubuhan sebuah kerajaan negeri yang dapat memupuk semangat perpaduan.
Beliau berkata, semua parti di negeri itu perlu lebih bersikap matang mengambil sikap yang terbuka tentang politik negeri itu.
“Negara kita memerlukan pemahaman lanskap politik baharu yang dapat menyatukan semua kaum dalam menempuhi cabaran dunia pasca Covid-19 secara muafakat.
“PKR Perak menjemput semua ahli politik agar mengutamakan perpaduan demi kesejahteraan rakyat. Sebarang usaha perdamaian amat penting pada masa ini agar kepentingan rakyat tidak terabai.
“Janganlah kita mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin hanya kerana tidak bersefahaman. Apa yang jelas adalah kita bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan yang mengutamakan semangat kesepakatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan jelas memberitahu bahawa semua parti politik supaya mencari jalan terbaik dalam memastikan demokrasi di Perak tetap subur.
“Seandainya kita semua bekerjasama maka wujudlah satu lanskap politik yang baharu dan berteraskan perpaduan, sejajar dengan titah Tuanku,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui media menghadap Sultan Nazrin berkata pihaknya telah mempersembahkan nama calon daripada parti itu untuk jawatan Menteri Besar Perak.
Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lalu setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehari sebelumnya.
Menerusi usul yang dibawa ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manap Hashim, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – MalaysiaGazette
Jangan nnti habis meroyan terjun lombong penyokong Umno