Anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2020

HARI ini masyarakat dunia menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) sebagai
usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran manusia untuk memerangi virus rasuah.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 9 Disember sebagai
tarikh keramat untuk kita sama-sama sedar betapa rasuah boleh memusnahkan
tamadun manusia. Ironinya, usaha untuk memerangi rasuah perlu membabitkan
kerjasama semua pihak kerana ianya tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana
individu atau organisasi secara silo atau sendiri. Justeru semua pihak perlu
berganding bahu jika memasang impian untuk memutuskan rantaian rasuah secara
menyeluruh.

Di negara kita sudah ada beberapa agensi yang ditubuhkan khusus untuk menangani
masalah integriti, rasuah, penyelewengan dan salah laku seperti, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah
Nasional (GIACC) serta Institut Integriti Malaysia (IIM). Semua agensi ini telah dan
sedang berusaha sebaik mungkin untuk memerangi rasuah baik dari aspek
penguatkuasaan dan hukuman mahupun dari segi pendidikan dan pencegahan. Kita
dapat lihat pada hari ini begitu banyak kes rasuah dan salah guna kuasa didedahkan
dengan pesalahnya dibawa ke muka pengadilan. Ini menunjukkan pihak berkuasa
amat serius dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Namun pada masa yang sama peningkatan kes rasuah juga membuktikan virus
rasuah ini sudah menjadi pandemik dalam masyarakat kita dan virus ini dilihat begitu
sukar untuk dikawal. Malah boleh dikatakan gejala rasuah ini semakin menjadi-jadi
dalam kalangan anggota masyarakat kita. Misalnya bilangan penjawat awam, pekerja
swasta, syarikat korporat mahupun individu seperti ahli perniagaan yang ditahan
pihak berkuasa kerana sama ada memberi atau menerima rasuah ini semakin
meningkat dan ini amat membimbangkan kita semua.

Justeru setiap seorang daripada kita perlu memikul tanggungjawab untuk membantu
memutuskan rantaian penularan virus rasuah ini. Sedarlah, usaha untuk
membendung dan memutuskan rantaian rasuah ini perlu bermula dari diri kita
sendiri. Sebagai anggota masyarakat yang mahukan negara ini bersih dari rasuah,
kita perlu bertindak dengan segera sebelum virus rasuah ini memusnahkan rakyat
dan negara kita. Antara tindakan yang boleh kita lakukan ialah, jujurlah pada diri
sendiri. Maksud di sini ialah jangan sesekali memberi rasuah kepada mana-mana
pihak. Berurusanlah dengan semua pihak terutamanya penjawat awam dan jabatan
kerajaan secara jujur dengan nilai integriti yang tinggi. Begitu juga, jika ada yang
meminta habuan jangan bersetuju dengan permintaan tersebut. Ingat, tidak akan
ada penawaran jika tiada permintaan dan begitu juga sebaliknya.

Kita juga perlu menjadi warganegara yang berani dan bertanggungjawab kepada
rakyat dan negara dengan cara melaporkan salah laku rasuah. Kita perlu berani
tampil untuk membuat aduan demi memutuskan rantaian rasuah ini. Jika semua
penjawat awam misalnya berani melaporkan segala bentuk habuan dan sogokan
yang ditawarkan kepada mereka oleh mana-mana individu mahupun sindiket, pasti
kita dapat memutuskan rantaian penularan rasuah.

Hal ini sangat signifikan kerana, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan)
SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hanya 0.01 peratus daripada 1.6
juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan
agensi masing-masing. Ianya membabitkan 343 penjawat awam yang berani tampil
memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas. Jelas sekali angka ini terlalu
rendah dan tidak sepatutnya berlaku.

Jadi baik orang awam mahupun penjawat awam perlu lebih berani untuk tampil
membuat aduan kepada pihak berkuasa. Jangan sesekali kita terus menutup mata,
mulut dan telinga atau berdiam diri kerana perbuatan tersebut boleh ditafsir sebagai
bersubahat. Dalam konteks ini, penjawat awam misalnya perlu sedar adalah menjadi

satu kesalahan jika tidak melaporkan kes rasuah dan boleh dikenakan tindakan
mengikut Seksyen 25 Akta SRPM 2009 yang berdepan dengan denda sehingga
RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Pada masa
yang sama, kerajaan juga menyediakan insentif kepada penjawat awam yang berani
melaporkan rasuah seperti yang terkandung dalam ‘Garis Panduan Pengiktirafan
Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’.

Ironiya, kita tidak perlu takut untuk mendedahkan dan membuat laporan kerana
kerana maklumat yang diberikan tidak akan didedahkan, malah keselamatan pemberi
maklumat juga terjamin di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan
Akta Perlindungan Saksi 2009.

Tuntasnya, memerangi rasuah dan memutuskan rantaian penularan rasuah adalah
tanggungjawab kita bersama. Jangan biarkan rasuah menghancurkan kehidupan kita
dan negara secara keseluruhannya. Ingat, vaksin terbaik untuk mengubati virus
rasuah adalah sikap dan tingkah laku diri kita sendiri. Selamat menyambut Hari
Antirasuah Antarabangsa.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast