Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2020

PUTRAJAYA – Meskipun kerajaan melaksanakan kelonggaran dengan membenarkan rentas negeri bermula Isnin lalu namun rakyat diingatkan agar tidak mendedahkan diri dengan risiko yang boleh menyebabkan jangkitan Covid-19 berlaku.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran itu perlu diiringi dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sekarang ini memang ada kelonggaran diberikan tapi apa yang lebih penting adalah pendedahan kes-kes positif kita masih boleh ada pergerakan tapi pastikan tidak terdedah dengan kes-kes positif.

“Ini yang kita nak syorkan pada setiap individu yang merentas daerah dan negeri pastikan kita amalkan SOP yang disyorkan KKM. Kalau setiap individu mengambil langkah-langkah pencegahan dan juga kawalan insyallah kita boleh kawal,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Terdahulu beliau menjangkakan antara 845 hingga 1,700 kes positif Covid-19 harian akan direkodkan dalam tempoh dua hingga empat minggu ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, sekiranya kes harian yang direkodkan kurang daripada unjuran itu ia merupakan khabar gembira khususnya untuk ekonomi negara.

“Kita (KKM) akan pantau untuk tempoh dua minggu ini melihat perkembangan kes harian kalau perkembangan kes harian lebih kurang sebagaimana kita jangkakan jadi kita boleh hidupkan ekonomi.

“Kalau kes bertambah kita kena fikir atau menggunakan strategi-strategi lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham menafikan dakwaan vaksin Covid-19 dari China tidak selamat seperti dakwaan sebuah artikel.

Tambahnya, negara itu sudah membuktikan sebelum ini ia mampu menghasilkan vaksin.

“Maklumat yang telah disiarkan oleh sebuah pihak media adalah tidak benar mengatakan vaksin daripada China adalah tidak berkesan, informasi tersebut tidak benar langsung.

“Kalau kita lihat China telah mengeluarkan vaksin-vaksin untuk WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia), contohnya vaksin influenza, vaksin polio, vaksin hepatitis A dan juga vaksin Japanese Encephalitis (JE),” katanya. – MalaysiaGazette