Sebanyak 10 kementerian memperoleh status pencapaian tahap tertinggi iaitu Cemerlang (Lima Bintang) pada Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 termasuk Jabatan Perdana Menteri.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 kementerian memperoleh status pencapaian tahap tertinggi iaitu Cemerlang (Lima Bintang) pada Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2019.

Kementerian tersebut adalah Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kementerian Wilayah Persekutuan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Kewangan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri.

“Ia mencerminkan kementerian terbabit telah melaksana keberkesanan tadbir urus, akauntabiliti Ketua Jabatan dan Pegawai Keselamatan Jabatan serta keterangkuman pembudayaan keselamatan perlindungan di segenap lapisan pegawai dan kakitangan awam,” menurut JPM, dalam kenyataan hari ini, sempena majlis AKKP yang berlangsung semalam.

JPM memaklumkan sebanyak 63 jabatan dan agensi kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri tersenarai sebagai penerima anugerah Cemerlang (Lima Bintang) dalam anugerah tersebut.

“Usaha pemerkasaan tadbir urus keselamatan perlindungan hendaklah diteruskan dan dijadikan agenda utama setiap jabatan kerajaan ke arah memastikan kerahsiaan maklumat dan aset kerajaan dilindungi setiap masa,” katanya.

Menurut JPM, program AKKP yang dilaksanakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), JPM secara dwitahunan itu adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan terjamin aspek keselamatannya setiap masa.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan pembudayaan keselamatan perlindungan dalam kalangan pegawai awam malah menggalakkan persaingan sihat antara jabatan kerajaan dalam mengekalkan pengiktirafan sedia ada ataupun melipatgandakan usaha bagi yang belum memperolehi pengiktirafan tahap Cemerlang (Lima Bintang),” menurut kenyataan itu.

Tambah JPM, CGSO melaksanakan program Inspektorat Keselamatan Perlindungan secara komprehensif di seluruh negara bagi memastikan langkah kawalan keselamatan dilaksanakan secara holistik.

Tumpuan pelaksanaan Inspektorat adalah meliputi empat elemen utama keselamatan perlindungan iaitu keselamatan umum, fizikal, dokumen dan peribadi bagi memberi pengiktirafan terhadap tadbir urus keselamatan perlindungan terbaik dalam kalangan jabatan kerajaan, katanya.- BERNAMA