Dr. Asmah Razalli

KUALA LUMPUR – Tahap muflis melibatkan golongan belia berusia antara 22 hingga 40 tahun di negara ini amat membimbangkan dengan perangkaan kira-kira 60 peratus, kata Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli.

Katanya, ia adalah daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan semakin hari keadaannya semakin membimbangkan.

“Ini berpunca dari salah langkah mereka ketika di awal pekerjaan, menggunakan perberlanjaan melebihi daripada pendapatan, selain ghairah membeli liabiliti seperti kad kredit mahupun gagal membayar pinjaman pendidikan seperti PTPTN atau bank.

“Bagaimanapun, perbuatan mereka ini akan menggelapkan masa depan sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Sayap Pergerakan Wirawati Putra pada Perhimpunan Agung Wirawati 2020-2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Persidangan serentak dengan Pergerakan Wira dan Wiranita itu dirasmikan Timbalan Presiden Putra Malaysia, Tan Sri Mohd Khalid Yunus.

Menurut Dr. Asmah, dalam mesyuarat itu Wirawati membawa usul meminta kerajaan mengkaji semula tatacara kaedah memufliskan belia dengan memberikan kelonggaran untuk mereka keluar dari status kebankrapan.

Ini ujarnya, bagi membolehkan golongan muda itu menyusun atur semula kehidupan dan memberi peluang mereka mencari rezeki dengan lebih baik.

Kata beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu mewujudkan skim khas untuk membantu golongan itu keluar daripada muflis dan tidak mudah memufliskan mereka.

Dr. Asmah (duduk, tengah) bersama barisan kepimpinan Pergerakan Wirawati selepas Mesyuarat Agung sayap parti itu.

Dalam pada itu, Wirawati memandang serius keperluan belia terutama gadis, lulusan mahasiswi dan suri rumah yang hendak kembali bekerja terutama golongan profesional, ibu tunggal serta mereka yang mencari pekerjaan ketika pandemik Covid-19.

“Mereka kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 dan kerajaan perlu peka dengan masalah ini, seperti menyediakan skim latihan pekerjaan untuk mereka kembali bekerja dan berdikari.

“Kementerian Sumber Manusia, institusi pengajian tinggi (IPT) dan Kementerian Pembangunan Usahawan perlu lebih cakna dengan memastikan tahap penggangguran dikurangkan.

“Kira-kira 544,500 anggaran belia menganggur tahun ini, dan skim latihan pekerjaan pasca Covid-19 untuk belia ini perlu diperluaskan ke seluruh negara merangkumi sektor kerajaan secara kontrak mahupun swasta,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menyediakan skim kembali bekerja dan latihan kepada belia pasca Covid-19 bagi memberi sinar kepada mereka yang dibuang kerja mahupun dihimpit kesusahan.

Katanya, inilah masanya kerajaan memberikan kepada belia tawaran serapan, lantikan kontrak mahupun tetap supaya mereka boleh membawa cara kerja lebih segar dan idea lebih kreatif serta proaktif untuk negara di jabatan seluruh negara.

“Santuni golongan penjaja, usahawan mikro IKS dan belia yang mahu memulakan perniagaan dengan membuka lebih banyak bantuan di bawah Mara, Tekun, koperasi, PUNB dan lain lain.

“Permudahkan juga proses permohonan dan kurangkan liabiliti. Bantu anak muda bernafas sendiri walaupun sekecil perniagaan penjualan kuih secara atas talian.

“Kita juga mengusulkan kerajaan menghapuskan bayaran balik selama enam bulan pinjaman mikro kerajaan akibat Covid-19 dan membantu belia membangunkan semula kehidupan mereka,” katanya.

Selain itu, Dr. Asmah juga mengusulkan skim khas pinjaman dengan menyediakan peruntukan kepada belia terutama wanita seperti dicanang dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini agar lebih bantuan kewangan diperluas dan dipermudahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast