Prof Diraja Ungku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Prof DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Ketua Pembangkang itu berkata, Allahyarham telah banyak menyumbang idea dan gagasan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Allahyarham banyak menyumbang kepada gagasan penting dalam pelbagai lapangan, antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan peranan besar yang dimainkan allahyarham di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

“Saya yakin sumbangan besar beliau kepada bangsa akan dikenang rakyat dan negara,” kata beliau.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Prince Court ketika berusia 98 tahun akibat sakit tua.

Allahyarham merupakan tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan.

Anwar dalam pada itu berterima kasih kepada Allahyarham yang banyak mencurahkan ilmu kepada beliau ketika menuntut di Universiti Malaya.

“Pengorbanan dan tunjuk ajar sewaktu berada di Universiti Malaya juga akan sentiasa tersemat utuh dalam jiwa saya,” kata Anwar lagi.

Jenazah Allahyarham Ungku Aziz akan disemadikan di Perkuburan Bukit Kiara, malam ini juga. – MalaysiaGazette