KUALA LUMPUR – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa pilu dengan situasi dihadapi seorang pelajar miskin Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang juga seorang anak yatim yang meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak dapat hadir mengambil keputusannya kerana kekangan kewangan.
Beliau memberi jaminan nasib pelajar tersebut akan perhatian segera pihak Mara dan berjanji Mara akan menanggung pendidikan pelajar terbabit hingga peringkat universiti, termasuk peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Pilu mendengar kisah pelajar yatim dan miskin 9A MRSM PC tak pergi ambil keputusan SPM sebab kekangan wang. MARA akan tanggung pelajar ini sampai universiti hatta ke luar negara.
“Insya-Allah, saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Mara untuk segera kumpulkan semua pelajar cemerlang MRSM seluruh negara termasuk penerima bantuan pendidikan Mara (BUDI) daripada golongan miskin tegar yang memperoleh semua A (dalam SPM), untuk bertemu saya dan diadakan program khas.
“Insya-Allah, amanah ini akan saya galas untuk membela lebih ramai anak bangsa yang kurang bernasib baik sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Setuju. Moga nasib pelajar hebat ini terbela.semoga MARA terus maju demi negara.
Alhamdulillah. Terbaik Datuk Dr Asyraf. Semoga semua pelajar cemerlang dari kategori tidak berkemampuan tidak mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak MARA. Kita mampu memartabatkan kehidupan dan masa hadapan kita khususnya serta nusa dan bangsa kita amnya. Yakin BOLEH!