G Sivamalar

KUALA LUMPUR – Kematian seorang pelajar di Kuala Pilah seharusnya membuka ruang untuk masyarakat melihat isu buli daripada sudut yang lebih luas termasuk keadaan sosial yang membentuk cara anak-anak berinteraksi dan menangani tekanan.

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan , Sivamalar Genapathy berkata, setiap kali berlaku kes buli, perhatian sering tertumpu kepada siapa yang bersalah dan bentuk hukuman yang perlu dikenakan sedangkan aspek pencegahan dan perlindungan terhadap mangsa juga perlu diberi perhatian.

Beliau menegaskan, dakwaan buli dalam kes berkenaan mesti disiasat secara menyeluruh dan telus di bawah peruntukan antibuli dalam Kanun Keseksaan serta peruntukan jenayah lain yang berkaitan berdasarkan bukti dan hasil siasatan.

“Laporan bedah siasat mesti menyeluruh dan disiapkan tanpa kelewatan yang boleh dielakkan. Ahli keluarga perlu diberikan maklumat yang sahih, jelas dan pantas mengenai perkembangan siasatan serta hasil bedah siasat.

“Jangan biarkan keluarga yang sedang berduka terus tertanya-tanya. Mereka berhak mengetahui kebenaran,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sivamalar berkata, kanak-kanak yang menjadi mangsa buli tidak semestinya mampu menjelaskan apa yang mereka lalui namun ada yang memilih untuk berdiam diri kerana takut, malu atau bimbang keadaan menjadi lebih buruk.

Ujarnya, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak seperti menjadi pendiam, enggan ke sekolah, hilang keyakinan diri atau mula menjauhkan diri daripada keluarga kerana perubahan itu mungkin menandakan mereka sedang berdepan masalah.

Beliau pada masa sama berpandangan isu buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu sekolah kerana ia turut dipengaruhi keadaan keluarga, tekanan sosial, media sosial dan cara anak-anak berkomunikasi antara satu sama lain.

Bagaimanapun, katanya, memahami punca tingkah laku pembuli tidak bermakna perbuatan itu boleh dimaafkan. Tindakan tegas tetap perlu diambil bagi melindungi mangsa.

Sivamalar berkata, pendekatan menangani buli perlu lebih menyeluruh dengan menggabungkan tindakan disiplin, sokongan kaunseling, pendidikan emosi, penglibatan ibu bapa serta pemantauan terhadap pelajar yang terlibat.

Katanya, setiap aduan juga perlu diberikan perhatian sewajarnya dan disusuli tindakan supaya pelajar tidak merasakan bahawa meminta bantuan hanya akan menyebabkan mereka dipersalahkan atau keadaan menjadi lebih buruk.

Dalam masa sama, Sivamalar mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadikan tragedi berkenaan sebagai ruang untuk membuat spekulasi atau menuding jari sebelum siasatan selesai.

Sebaliknya, kejadian itu perlu mendorong usaha memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Beliau berkata, isu buli akhirnya perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerana di sebalik setiap kes terdapat seorang anak, sebuah keluarga dan kesan yang mungkin berpanjangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here