Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Akbar Samon membuat lawatan ke kedai rakyat MAIWP pada Program Floor Walk dan Santunan Asnaf di Kedai Rakyat MAIWP, Presint 5, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang terus fokus untuk membantu golongan asnaf melancarkan program Gerobok Rezeki hari ini.

Program itu berbentuk bantuan makanan keperluan yang diletakkan di dua buah cawangan Kedai MAIWP yang terletak di Persint 5 dan Persint 9, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program ini diharap dapat mengurangkan beban kesempitan hidup yang ditanggung oleh asnaf ketika pandemik Covid-19 di Wilayah Persekutuan.

“Asnaf mahupun sesiapa sahaja yang sedang dalam kesempitan hidup dialu-alukan untuk hadir ke Kedai MAIWP bagi mengambil makanan yang diinfaqkan oleh orang ramai,” katanya.

Tels ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Akbar Samon.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun Gerobok Rezeki ini terletak di Putrajaya namun MAIWP tidak menghadkan lokasi tempat tinggal asnaf yang mahu mengambilnya.

Pada majlis itu, Akbar turut menyampaikan sumbangan kepada 50 orang asnaf yang tinggal di Putrajaya.

Bantuan yang diterima adalah barangan makanan harian seperti beras, minyak masa, gula dan biskut.

Terdapat 30 skim bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP.

Secara keseluruhan seramai 2,844 asnaf di Putrajaya telah menerima dana zakat menerusi 30 skim bantuan berkenaan.-MalaysiaGazette