Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan 235 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 233 individu telah dikompaun manakala dua individu pula direman.

Jelas beliau, antara kesalahan ingkar arahan PKP itu termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan seramai 82 individu, tidak memakai pelitup muka (81), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57) dan lain-lain seramai 15 orang.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 50,724 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,990 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,025 anggota telah membuat pemantauan di 3,560 pasar raya, 5,017 restoran serta 1,534 penjaja, 1,340 kilang, 3,513 bank dan 3,106 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 942 terminal pengangkutan darat, 255 terminal pengangkutan air serta 100 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail menambah, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 87,013 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 74 hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, seramai 9,405 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 77,076 individu telah dibenarkan pulang dan mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste dan Taiwan.

“Negara lain adalah China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” katanya. – MalaysiaGazette