KUALA LUMPUR – Sememangnya sesuatu yang cukup mengecewakan apabila apa yang dijanjikan tidak ditunaikan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan tuntutan sejak 40 tahun dahulu lagi.

Itulah nasib dihadapi oleh 170 peneroka tanah ladang Kampung Gatco (Kampung Serampang Indah) di Negeri Sembilan yang mendakwa mereka sepatutnya menerima lapan ekar tanah dan empat ekar untuk pembeli.

Namun pengumuman terbaharu sangat mengecewakan apabila kerajaan negeri dikatakan hanya mampu memberikan empat ekar tanah kepada peneroka asal manakala dua ekar untuk pembeli.

Menurut jurucakap peneroka merangkap Setiausaha Jawatankuasa Badan Bertindak Peneroka Gatco, John Francis, tindakan kerajaan negeri itu amat dikesali.

“Mana tidaknya, ini satu pengkhianatan apabila barisan kerajaan negeri yang ada kini sebenarnya pemimpin yang bersama-sama kami memperjuangkan isu ini ketika masih bergelar pembangkang.

“Pada masa itu, mereka kata boleh beri kita lapan ekar dan empat ekar untuk pembeli. Ketika itu, kerajaan negeri diperintah Barisan Nasional (BN).

“Kini kerajaan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun juga barisan Exco lain seperti YB Veerapan, YB Ravi, YB Guna dan beberapa pimpinan lain ‘tukar’ cerita pula.

“Kini mereka kata, peneroka asal akan diberikan empat ekar tanah manakala pembeli dua ekar yang sebenarnya bercanggah dengan apa yang mereka janjikan pada tahun 2018.

“Malah Veerapan sendiri dalam salah satu temuramah media secara terbuka mendabik dada memberitahu kerajaan negeri bersetuju memberikan lapan ekar.

“Tetapi pada pengumuman terbaru November lepas, mereka kata,  ianya empat ekar dan telah memberi tempoh sehingga 30 Januari 2021 untuk menerima tawaran ini, kami tuntut lapan ekar bukan empat ekar. Janji telah diberikan kepada kita jadi kenapa kini tukar cerita?

“Mengapa dulu kata boleh? Apa yang dijanjikan oleh Menteri Besar sendiri sungguh bercanggah, kami bantah pengumuman ini. Anda yang berjanji juga meminta kita bersabar dan tidak sesekali membuat demonstrasi kononnya ini akan diselesaikan.

“Mengapa aniaya kami seperti ini, ini tidak betul. Kami sungguh menyesal kerana anda ketika menjadi pembangkang segala bulan bintang boleh diberikan, bila dapat undi dan menang terus semua itu anda lupakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Isu Ladang Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar milik Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu milik syarikat itu dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporatiom Berhad (Gatco) yang kemudian menjadikan kawasan itu sebagai tanah rancangan.

Syarikat berkenaan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan kebun seluas empat hektar setiap seorang dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM7,000.

Pada awalnya kawasan itu dirancang dijadikan ladang getah namun syarikat menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai.

Tanah syarikat berkenaan kemudian dilelong pada tahun 2004 sebelum dibeli sebuah Syarikat Thamarai Holdings Sendirian Berhad.

Isu kemudian timbul apabila penduduk asal yang membayar ketika memasuki tanah rancangan itu tidak dapat memiliki tanah sehingga kes dibawa ke mahkamah.

Kerajaan negeri ketika itu kemudian campur tangan sebelum memutuskan setiap penduduk atau peneroka asal menerima tanah seluas 1.6 hektar dan penduduk yang membeli daripada peneroka asal seluas 0.8 hektar.

Bagaimanapun penduduk tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan kerajaan negeri ketika itu.

Syarikat Thamarai Holdings Sdn Bhd kemudiannya bersetuju untuk memberi secara percuma tanah seluas 482.4 hektar kepada penduduk terbabit.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arulchelvan berkata, pihaknya bersama-sama berjuang dalam mendapatkan keadilan kumpulan peneroka berkenaan namun tidak menyangka kerajaan negeri yang ada terus mempermainkan mereka.

“Ini tidak betul dan tidak adil. Mereka buat apa BN dahulu. Dulu berjanji boleh selesai malah dalam beberaopa pertemuan sudah dinyatakan bahawa semua peneroka ini akan dapat lapan ekar.

“Tapi kini berubah nada. Kita sudah menghantar surat kepada Menteri Besar tentang perkara ini semalam. Untuk memberikan tempoh masa sehingga 30 Januari depan adalah satu ugutan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Isu Gatco dan kepincangannya adalah satu skandal besar seperti 1MDB sebenarnya, sedih sekali apabila golongan miskin dibuli seperti ini oleh golongan kaya manakala pemimpin politik pula hanya mahu menyebelahi yang kaya dan berduit.

”Dengan berikan empat ekar sememangnya sukar untuk mereka yang terlibat dengan tanaman getah, lokasi ini juga tiada pekerjaan lain jadi ke mana hala tuju mereka?” soal Arulchelvan.- MalaysiaGazette