Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai pegawai kanan agensi itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM telah menahan empat individu yang mengambil wang rasuah daripada individu yang sedang disiasat SPRM kononnya mereka boleh menyelesaikan kes itu.

Kes berkenaan terbongkar hasil kerjasama daripada mangsa yang membuat laporan.

“Oleh itu, SPRM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik yang digunakan oleh suspek seumpama ini iaitu mendakwa mengenali rapat pegawai kanan SPRM, menunjukkan gambar-gambar bersama pegawai kanan SPRM, menunjukkan kad-kad tertentu kononnya milik pegawai kanan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya di SPRM serta menunjukkan gambar-gambar berada di premis dan program-program pencegahan SPRM.

“Taktik berkenaan digunakan bagi meyakinkan mangsa terlibat sekali gus bertujuan mendapatkan wang rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang dihubungi oleh mana-mana pihak yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai SPRM atau Timbalan Pendakwa Raya bagi menyelesaikan sesuatu kes SPRM harus merujuk perkara tersebut kepada suruhanjaya tersebut terlebih dahulu.

“Dalam pada itu, SPRM juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara berkenaan turut melibatkan mana-mana pegawai SPRM,” katanya beliau. – MlaaysiaGazette

Datuk Roy, 3 individu minta suapan selesaikan siasatan SPRM dihadapkan ke mahkamah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast