Datuk Roy yang menyamar sebagai Pengarah SPRM antara empat suspek direman SPRM di Mahkamah Majistret Putajaya pagi hari untuk membantu siasatan disyaki minta suapan RM60,000 selesaikan kes. Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana disyaki meminta wang rasuah sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu.

Pagi ini keempat-empat suspek yang terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah syarikat dan dua orang awam di hadapkan ke Mahkamah Majistret di Putrajaya dengan berbaju lokap SPRM warna jingga dan tangan bergari untuk perintah reman bagi membantu siasatan SPRM.

Mereka ditahan untuk disiasat di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Majistret Shah Wira Abdul Rahim selepas meneliti permohonan SPRM membenarkan tempoh reman selama enam hari bermula hari ini hingga 22 Disember ini.

Sumber memberitahu, tiga lelaki berusia 39 hingga 54 tahun ditahan dalam satu perangkap di sebuah hotel di Putrajaya pada jam 4.30 petang semalam manakala seorang lagi ditahan di rumah beliau di Melaka jam 8.30 malam tadi.

Perancang utama yang dikenali sebagai Datuk Roy yang mengaku sebagai ‘Pengarah SPRM’ turut ditahan bersama-sama dua yang lain di hotel berkenaan.

Jelas sumber, keempat-empat lelaki itu menyamar sebagai ‘pegawai kanan SPRM dan ‘Timbalan Pendakwa Raya’ telah meminta wang rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada kesalahan yang lebih ringan dan membuka semula akaun pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM.

“Hasil risikan yang dijalankan mendapati ahli kumpulan ini sanggup masuk ke kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi menyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM tanpa menyedari kesemua pergerakan mereka dirakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) Ibu Pejabat SPRM.

“SPRM sedang mengesan seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan ini bagi membantu siasatan.

“Identiti beliau telah dikenalpasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya.

Datuk Azmi Kamaruzaman, Pengarah Perisikan SPRM

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat dibawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk berhati-hati dengan individu tertentu yang menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta wang rasuah untuk menyelesaikan kes siasatan SPRM.

“Kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM ini dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini memandangkan tindakan tegas SPRM menerusi pelbagai operasi yang dijalankan dalam tahun ini. Akan ada individu yang mengambil kesempatan menyamar dan meminta wang daripada orang ramai. Ini merupakan satu bentuk scam yang sedang berlaku.-MalaysiaGazette