Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar kes positif baharu jangkitan Covid-19 di dalam negara terus meningkat dan kekal pada kadar empat angka iaitu 1,683 kes hari ini.

Selangor pula terus merekodkan jumlah kes harian tertinggi dan dua kali ganda iaitu 692 kes positif hari ini berbanding semalam iaitu 368 kes.

Jumlah kes baharu hari ini menjadikan kumulatif keseluruhan kes jangkitan positif dala,m negara adalah 90,816 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, bilangan kes sembuh sebanyak 1,214 kes sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 75,244 kes atau 82.9 peratus daripada jumlah
keseluruhan kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 15,140 kes.

“Daripada jumlah kes baharu 1,683 kes berkenaan terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,675 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 692 kes (41.1 peratus) diikuti Sabah yang melaporkan sebanyak 260 kes (15.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 197 kes (11.7 peratus).

Tambah Noor Hisham, sebanyak 313 kes atau 18.6 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 235 kes, Kluster Tembok 55 kes, Kluster Tembok Gajah 12 kes, Lapan kes Kluster Bakti, dua kes Kluster Penjara Kepayan dan satu kes Kluster Penjara Seberang Perai.

Sehingga kini, kata Noor Hisham, terdapat 106 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Ingin dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 432 kes atau 0.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” tegasnya.-MalaysiaGazette