Tiga kluster baharu berkaitan Covid-19 dikesan di negara ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kluster baharu dilaporkan di dalam negara dalam perkembangan terbaharu penularan Covid-19 membabitkan lima buah negeri termasuk Sabah.

Keenam-enam kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah Kluster Tapak Bina Lebuh di Selangor, Kluster Sugud di Sabah, Kluster Tapak Bina Jalan Tengah di Kuala Lumpur, Kluster Persiaran Heights di Negeri Sembilan, Kluster Rembok Gajah dan Kluster Utama Rini di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Tapak Bina Lebuh dikesan di daerah Sepang yang mana kes kluster itu dilaporkan positif  bermula pada 15 Disember lalu melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

Katanya, sehingga 112 tengahari ini, sejumlah 285 individu telah disaring dan sebanyak 20 kes telah dikesan positif.

“Kluster Sugud dikesan di daerah Penampang dan Papar, Sabah yang mana kes indeks iaitu kes ke-60, 068 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 26 November lalu melalui saringan individu bergejala dan sejumlah 163 individu telah disaring dan 26 kes daripadanya telah dikesan positif.

“Kluster Tapak Bina Jalan Tengah pula melibatkan daerah Lembah Pantai dan kes dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 3 Disember lalu melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan dan sehingga hari ini, seramai 245 individu disaring dan 11 daripadanya positif Covid-19.

“Bagi Kluster Persiaran Heights pula dikesan di tempat kerja daerah Seremban dan kes indeks kluster berkenaan adalah kes ke-84, 673 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 14 Disember lalu melalui saringan individu bergejala manakala sehingga kini seramai 60 individu telah disaring sementara 21 daripadanya dikesan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, Kluster Tembok Gajah dikesan di daerah Kluang, Johor yang mana kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-87, 833 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 16
Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

Menurut beliau, sehingga hari ini, seramai 52 individu telah disaring di mana 13 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

Justeru katanya, kluster keenam iaitu Kluster Utama Rini dikesan juga di daerah Johor Bahru, Kulai dan Pontian yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-80, 177 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 11 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, seramai 100 individu telah disaring manakala 22 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai jumlah kluster-kluster setakat ini, sehingga kini katanya, sebanyak 435 kluster telah dilaporkan termasuk enam kluster baharu pada hari ini.

Jelasnya, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 238 kluster termasuk dua kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Parit Kassan di Johor dan Kluster Kube di Kelantan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 197 kluster dan daripada jumlah itu sebanyak 60 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (235 kes), Kluster Tapak Bina Muda (74 kes), dan Kluster Tembok (55 kes). – MalaysiaGazette