Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bercakap sidang media berkenaan Op Jarom menumpaskan sindiket pengedaran dadah 'Fei Long' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat dalam kesalahan tatatertib serta salah laku jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh kesemua pegawai dan anggota yang terbabit dan tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat.

Katanya, setiap salah laku yang dilakukan pegawai dan anggota akan dibuka kertas siasatan untuk diteliti oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard ( JIPS) sebelum sebarang tindakan diambil sepenuhnya.

“Kontinjen Kuala Lumpur juga komited dan memandang serius isu salah laku melibatkan pegawai dan akan bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana anggota serta pegawai yang melakukan kesalahan termasuklah kita pertimbangkan tindakan pembuangan kerja.

“Jika perlu buang, kita akan buang mereka dari kerja polis tanpa kompromi,” katanya dalam sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa seramai 46 pegawai dan anggota polis di negeri itu ditamatkan perkhidmatan selepas didapati bersalah terlibat dalam pelbagai jenayah dan salah laku sepanjang tempoh ini.

Menurut Ayob Khan semalam, JIPS Johor turut membuka sebanyak 230 kertas siasatan tatatertib membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dengan dua pegawai awam dengan 154 kes salah lalu dan 45 kes berkaitan dadah.

Mengulas lanjut, Saiful Azly menambah bahawa setiap hukuman akan ditentukan berdasarkan tahap kesalahan yang dilakukan pegawai dan anggota yang terbabit.

“Hukuman yang dilaksanakan akan berdasarkan tahap tinggi dan rendah kesalahan yang dilakukan, sebagai contoh, enam anggota polis yang terbaru ditangkap turut dicadangkan untuk terus dibuang kerja.

“Dalam hal salah laku ini, kita tidak lagi akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam salah laku dan tindakan yang agresif akan menyusul ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.

Ditanya sama ada jumlah pegawai dan anggota yang diambil tindakan tatatertib adalah ramai pada tahun ini berbanding yang diumumkan di Johor, katanya, perkembangan itu akan dimaklumkan pada Januari.

“Saya tidak mahu komen lagi mengenai jumlah itu, nantikan sidang media pada Januari 2021 untuk mengumumkan jumlah polis yang terbabit dalam tempoh setahun siap dengan statistik.

“Malah tindakan yang diambil ini juga adalah sejajar dengan hasrat dan saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mahukan mereka yang memalukan dan mengaibkan pasukan polis diambil tindakan berat,” tegas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast