Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Pemergian Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah cukup dirasai oleh rakyat di negara ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata demikian selepas selesai memberi penghormatan terakhir kepada isteri Perdana Menteri kedua itu di sini malam ini.

“Perginya seorang yang jasanya cukup besar kepada negara,” katanya.

Tambah Shahril, Tun Rahah antara insan yang paling kuat berjuang untuk memperkasakan wanita suatu masa dahulu.

“Saya yakin seluruh rakyat Malaysia berkongsi kesedihan yang sama dengan keluarga arwah khususnya Datuk Seri Najib Razak dan semua keluarganya.

“Tun Rahah banyak sumbangannya kepada negara,” tambah beliau.

Beliau berharap jasa dan sumbangan arwah menjadi topik perbincangan golongan muda kelak agar legasi Allahyarhamah terus berkembang.

Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan Tun Rahah sebagai wanita yang dihormati di negara ini.

Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

“Tun Rahah adalah seorang pemimpin wanita yang memang dihormati. Beliau bukan sahaja isteri kepada Perdana Menteri Ke-2, beliau juga seorang yang rajin memperkasakan memberi kesedaran kepada wanita untuk bangkit.

“Beliau banyak memberikan bakti dan jasa kepada pembangunan negara.

“Ini satu kehilangan besar buat negara dan seorang tokoh yang dihormati,” katanya yang juga Menteri Pengangkutan.-MalaysiaGazette