Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

GOMBAK – Dua lelaki warga tempatan yang enggan memberhentikan kereta ketika diarah polis untuk berbuat demikian merempuh sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat.

Bagaimananpun suspek yang memecut Proton Persona hitam di Jalan Rawang – Templer kerana memiliki syabu ditangkap Kota Damansara, Petaling Jaya.

Kejadian berlaku pada jam 9.20 malam semalam ketika sepasukan polis Kereta Peronda Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sedang membuat rondaan di Jalan Besar Selayang ke Templer.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pasukan kereta peronda (MPV) melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis telah mengarahkan kereta tersebut berhenti bagi tujuan pemeriksaan tetapi pemandu kereta tersebut telah bertindak memecut laju melarikan diri ke arah pekan Rawang.

“Anggota polis bertugas dengan bantuan daripada pasukan Trafik IPD Gombak dan MPV IPD Petaling Jaya telah bertindak mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Subang-Kota Damansara.

“Semasa di Persimpangan Lampu Isyarat Seksyen 11, Kota Damansara, kereta tersebut telah melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, kereta suspek berjaya dipintas dan polis memberkas kedua-dua suspek

Jelasnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta mendapati suspek memiliki 95 bungkusan rokok di bahagian bonet kereta dan satu plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu.

“Turut dijumpai, satu butir pil disyaki Eramin 5 di dalam beg dompet salah seorang suspek, mereka disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua saspek ditahan reman selama (10) hari mulai 19/12/2020 hingga 28/12/2020 untuk siasatan lanjut.

“Kedua dua suspek berusia 28 dan 31 tahun manakala salah seorangnya mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” ujarnya.

Arifai berkata, polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek terlibat dalam penyeludupan rokok dan pengedaran dadah dan cawangan Trafik Petaling Jaya menyiasat insiden perlanggaran motosikal. – MalaysiaGazette